SEDEKAD berlalu. Hari ini 17 Julai 2024, genap 10 tahun tragedi hitam menimpa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 apabila ia terhempas dari ketinggian 30,000 kaki di wilayah Ukraine selepas didakwa ditembak jatuh oleh kumpulan pemberontak di negara berkenaan.
Kesemua 298 penumpang dan anak kapal yang berada di dalam pesawat Boeing 777 berkenaan terkorban iaitu 193 warganegara Belanda, Malaysia (43), Australia (27), Indonesia (12), United Kingdom (10), Belgium (empat), Jerman (empat), Filipina (tiga) dan masing-masing satu dari Kanada dan New Zealand.
Peristiwa menyayat hati itu berlaku dalam tempoh wmpat bukan selwpas MAS kehilangan pesawat MH370 pada 8 Mac 2014 yang sehingga kini kekal menjadi misteri kepada sejarah penerbangan dunia.
MH17 berlepas pada pukul 12.15 tengah hari (waktu Amsterdam) dari Lapangan Terbang Schiphol di Amsterdam dan dijadual tiba di Kuala Lumpur pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat, 18 Julai.
Bagaimanapun, pada 10.15 malam (waktu Malaysia) MAS menerima makluman daripada Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine bahawa ia terputus hubungan dengan Penerbangan MH17 pada waktu 1415 (GMT), pada kedudukan 30 kilometer (km) dari Tamak, kira-kira 50 km dari sempadan Rusia-Ukraine.
Berita antarabangsa kemudian melaporkan penemuan bangkai pesawat berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine di wilayah dikuasai pemberontak berhampiran sempadan Rusia dengan beberapa imej menunjukkan bangkai pesawat, mayat dan barangan peribadi bertaburan sejauh beberapa kilometer.
Berdasarkan laporan akhir nahas yang dikeluarkan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) pada 24 Mei 2018 selepas 15 bulan siasatan dijalankan, ia menyimpulkan pesawat itu ditembak jatuh oleh peluru berpandu milik tentera Rusia, BUK TELAR yang mengenai sebelah kiri kokpit pesawat berkenaan.
Namun, di sebalik pelbagai bukti ditemukan pasukan penyiasat, tiada pihak yang mahu membuka mulut mengaku membedil pesawat berkenaan, tetapi demi menuntut keadilan buat mangsa dan keluarga mereka, Malaysia dan beberapa negara terlibat telah berusaha sehabis baik untuk membawa dalang yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
Akhirnya pada Jun 2019, tiga rakyat Rusia iaitu Igor Girkin, Sergey Dubinsky dan Oleg Pulatov, serta seorang rakyat Ukraine Leonid Kharchenko didakwa secara in absentia di Mahkamah Daerah The Hague atas pertuduhan membunuh.
Pada 17 November 2022, mahkamah itu menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Girkin, Dubinsky dan Kharchenko selepas didapati bersalah atas pertuduhan menembak jatuh pesawat MH17 dan menyebabkan kesemua 298 penumpang dan krunya terbunuh, manakala Pulatov dilepaskan atas pertuduhan sama.
Tiga tertuduh itu juga diperintahkan membayar pampasan lebih 16 juta Euro (RM75.26 juta) kepada keluarga mangsa.
Mahkamah itu dalam penghakiman memutuskan bahawa mahkamah tidak meragui sama sekali bahawa MH17 telah terkena sebutir peluru berpandu BUK yang ditembak dari padang di ladang di timur Ukraine.
Sementara itu, media antarabangsa melaporkan harapan ahli keluarga mangsa nahas pesawat MH17 untuk melihat pihak bertanggungjawab menerima hukuman setimpal semakin suram.
Ia susulan Russia menolak permohonan untuk mengekstradisi tiga lelaki yang disabitkan atas kesalahan itu oleh Mahkamah di Belanda.
Tahun lalu, penyiasat antarabangsa menggantung kerja terhadap tiga lelaki berkenaan dan mengatakan bahawa tiada bukti yang mencukupi untuk mendakwa lebih ramai suspek.
(keratan laporan BH)
Nn
