7 jajahan dikenakan PKP

KUALA LUMPUR 14 April – Kerajaan bersetuju melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di tujuh jajahan atau daerah di Kelantan bermula 16 hingga 29 April ini, kata Menteri Kanan Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob.

Keputusan itu dibuat berikutan berlaku peningkatan kes mendadak dan atas persetujuan kerajaan Kelantan.

Tujuh daerah yang dikenakan PKP itu adalah Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Bachok, Machang, Tumpat dan Tanah Merah.

KKM mengesahkan berlaku peningkatan kes sebanyak 30.5 peratus di negeri itu dalam tempoh 14 hari iaitu daripada 756 kes kepada 1,088 kes dan kesemua tujuh jajahan atau daerah ini berada di dalam Zon Merah.

“Selain itu, terdapat juga sembilan kluster baharu telah dilaporkan dalam tempoh 14 hari dengan kadar kebolehjangkitan dalam komuniti adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun semua sektor ekonomi dan perniagaan yang diluluskan oleh kementerian dan agensi yang berkaitan boleh beroperasi dalam tempoh PKP.

Beliau berkata, semua sekatan jalan raya akan diadakan di semua sempadan daerah dan negeri.

Sementara itu empat lagi kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) iaitu satu di Sabah dan tiga di Pahang bermula esok sehingga 28 April.

Beliau berkata, kawasan terbabit ialah Kampung Tanjung Batu Keramat, Kota Belud serta Ladang Leepang, Ladang Laukin dan Kampung Inoi di Muadzam Shah, Rompin.

Kementerian Kesihatan memaklumkan berlaku peningkatan kes di lokaliti itu dengan kadar kebolehjangkitan tinggi.

Related posts

Leave a Comment