KUALA LUMPUR 17 Julai – Tindakan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Muhamad Jailani Khamis yang sah menyertai Pas akan diserahkan sepenuhnya kepada Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh.
Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata tindakan itu juga akan dibawa kepada Majlis Tertinggi UMNO.
“Saya sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Menteri Melaka dan saya serahkan sepenuhnya kepada beliau selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) Melaka dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka untuk mengambil tindakan.
“Tindakan itu juga beliau akan bawa kepada Majlis Tertinggi UMNO,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelepasan Peserta Program-Program Inisiatif Malaysia-China Institute (MCI), di sini hari ini.
Ditanya sama ada beliau mendengar khabar angin terdapat wakil rakyat yang mahu menyertai parti politik lain, Ahmad Zahid menafikan perkara itu.
Muhamad Jailani yang sebelum ini digantung keahlian dalam UMNO sah menyertai Pas seperti diumumkan Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan berkuat kuasa Jun tahun lalu.
Takiyuddin dilaporkan berkata, keputusan itu dibuat selepas menerima permohonan Muhamad Jailani pada 10 Jun 2023.
Mengenai calon UMNO yang akan bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, beliau berkata, calon itu adalah seorang anak tempatan dan mempunyai jawatan dalam parti.
Katanya , calon itu juga dikategorikan sebagai WALI merujuk kepada Winnability (boleh menang), Acceptability (kebolehterimaan) dan Likeability (disenangi).
“Kita akan umumkan minggu ini dan pemilihannya adalah yang terbaik serta dalam kategori WALI. Beliau juga seorang yang boleh membawa perkhidmatan terbaik untuk DUN Nenggiri,” katanya .
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Nenggiri pada 17 Ogos depan, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal pula masing-masing ditetapkan pada 3 dan 13 Ogos depan.
PRK Nenggiri diadakan selepas Yang Dipertua DUN Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah pada 19 Jun lalu mengumumkan kekosongan kerusi selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu apabila menyokong Anwar.
