Berat badan DAK meningkat

IPOH 6 Mei  – Susulan pelbagai desakan supaya membawa pulang tiga ekor gajah dikenali sebagai Dara, Amoi dan Kelat (DAK), Majlis Perbandaran Taiping (MPT), tampil menjelaskan keadaan DAK yang kini berada di Zoo Tennoji, Jepun.

Dalam kenyataannya hari ini, MPT memaklumkan DAK menunjukkan peningkatan berat badan yang konsisten.

MPT menyifatkan perkembangan itu mencerminkan tahap kesihatan, pemakanan dan penjagaan harian yang baik serta terkawal, sekali gus menunjukkan kebajikan haiwan terbabit berada pada tahap tinggi dan mematuhi amalan terbaik pengurusan dalam kurungan.

Menurut kenyataan itu, berat badan Kelat meningkat sebanyak 440 kilogram (kg), iaitu daripada 2,360 kg kepada 2,800 kg, Dara sebanyak 215 kg (1,985 kg kepada 2,200 kg) dan Amoi 200 kg (1,280 kg kepada 1,480 kg).

Sebagai langkah proaktif dan komitmen terhadap ketelusan, laporan berkala secara mingguan akan disediakan MPT berhubung keadaan DAK berdasarkan maklumat rasmi yang diterima daripada Zoo Tennoji

Laporan berkenaan akan dikongsikan kepada pihak berkepentingan serta orang awam bagi memastikan penyampaian maklumat yang tepat dan sahih.

“Pihak MPT juga akan terus berhubung secara langsung dengan pengurusan Zoo Tennoji dari semasa ke semasa bagi mendapatkan perkembangan terkini serta memastikan kebajikan haiwan sentiasa diberi keutamaan,” menurut kenyataan itu.

DAK yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Jepun berada di bawah perjanjian kerjasama antarabangsa yang dipersetujui antara Tennoji Zoo, Osaka dengan Zoo Taiping & Night Safari yang diwakili MPT pada 19 Mei 2022 dan 6 Oktober 2022.

Perjanjian terbabit adalah bagi tempoh 25 tahun.

MPT juga akan meneliti sedara terperinci setiap perkara yang dikemukakan menerusi memorandum dan akan memberi maklum balas dalam masa terdekat selaras prosedur dan peraturan yang ditetapkan.

Media melaporkan sekumpulan aktivis dan badan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan membawa pulang DAK kerana didakwa mengalami penderitaan serta tidak sesuai dengan persekitaran di zoo itu.

Terdahulu, Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dilaporkan, menggesa DAK dibawa pulang ke Malaysia dari Jepun sekiranya pelaksanaan perjanjian sedia ada didapati tidak lagi selari dengan prinsip konservasi, kebajikan hidupan liar dan sensitiviti semasa.

Arthur Joseph dipetik berkata, Zoo Taiping & Night Safari digesa memulakan rundingan rasmi dengan Zoo Tennoji, Osaka bagi menilai keperluan serta mekanisme membawa pulang gajah berkenaan.

“Pada 13 April lalu, kami sudah membangkitkan isu ini dalam pertemuan bersama Duta Besar Jepun ke Malaysia, Noriyuki Shikata.

“Pada 21 April pula, NRES memanggil Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping serta pengurusan Zoo Taiping & Night Safari bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Namun sehingga ke hari ini (semalam) permintaan dan cadangan kita itu gagal dipenuhi oleh kedua-dua pihak.

“NRES berpendirian gerakan untuk membawa pulang gajah tersebut wajar dipertimbangkan secara serius,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment