UMNO tidak takut hadapi PRK

KUALA NERUS 13 Julai – UMNO bersedia menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) jika ia melibatkan enam kawasan Parlimen yang sebelum ini diwakili Bersatu, kata Presidennya, Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Justeru, beliau menyangkal dakwaan Bersatu yang menyatakan Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan, susulan keputusan tidak mengisytiharkan kekosongan enam kerusi Parlimen yang menyokong kepemimpinan Anwar Ibrahim.

Katanya, tiada istilah takut menghadapi kekalahan dalam politik dan parti itu sedia bertanding sekiranya berlaku PRK bagi enam Parlimen berkenaan.

“Bukan kerana itu (takut kalah), kita rasa keenam-enam kerusi ini dulu adalah kerusi UMNO dan kalau (diumumkan) kosong pun UMNO akan bertanding.

“Dalam politik, mana boleh takut (dan) saya melihat pengumuman yang dibuat oleh Tan Sri Johari Abdul selaku Speaker Dewan Rakyat, terhadap kedudukan enam Ahli Parlimen yang telah terpecat daripada Bersatu kerana menyokong Perdana Menteri itu adalah keputusan yang dibuat mengikut Perkara 49, Perlembagaan Malaysia.

Mungkin ada dalam kalangan mereka yang akan dicabar, mungkin mengemukakan bukti. Itu kita serahkan kepada mana-mana pihak untuk membawa ke mahkamah,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Kuala Nerus di sini hari ini.

Sebelum ini, Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, mendakwa enam kerusi Parlimen dan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang oleh bekas ahli parti itu tidak diisytiharkan kosong kerana Kerajaan Perpaduan takut berdepan kekalahan dalam PRK.

Muhyiddin berkata, disebabkan itu Kerajaan Perpaduan didakwa sanggup melanggar Perlembagaan Persekutuan berkait Akta Anti Lompat Parti, yang diperjuangkan mereka sendiri.

Ketika ditanya sama ada keputusan Speaker Dewan Rakyat, itu akan mendorong ahli politik kerajaan untuk berbuat perkara sama, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) yakin tidak ada ahli politik kerajaan akan berpaling tadah.

“Pelbagai tafsiran saya bagi tahu tadi. Insya Allah, keadaan itu tidak akan berlaku. Mengapa perlu menyokong pembangkang walaupun alasan-alasan politik tapi Insya Allah ini tidak akan berlaku,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment