Referendum pengundi di kawasan ‘lompat parti’

KOTA TINGGI 13 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan bersetuju akta antilompat parti dikaji semula atau dipinda supaya dapat diperkasakan seterusnya menoktahkan tindakan wakil rakyat mengalih sokongan kepada parti lain atau pemimpin lawan.

Katanya, akta berkenaan wajar diperbetulkan supaya tindakan tegas dapat dikenakan termasuk mengosongkan kerusi wakil rakyat yang secara jelas menunjukkan tidak lagi sehaluan dengan parti mereka.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), berkata, undang-undang ketat diperlukan agar isu lompat parti tidak lagi membelenggu politik Malaysia,

Justeru, Mohamad mengesyorkan satu peruntukan dipertimbangkan, iaitu mengumpul suara rakyat atau referendum pengundi di kawasan yang wakil rakyat mereka tidak sehaluan lagi dengan parti diwakili.

Katanya, langkah berkenaan dilaksanakan di England melalui proses yang dirujuk sebagai recall petition.

Pada saya, elok kita kaji (akta antilompat parti). Kalau tidak dikaji, wajar perbetulkan, buat satu undang-undang seperti di England.

“Di negara itu, jika ada Ahli Parlimen jelas menunjukkan tidak sehaluan dengn parti dan tidak bersama parti, maka pengundi di kawasan mereka boleh membuat petisyen dan pungutan suara atau referendum.

“Mereka akan kumpul tanda tangan pengundi sah di kawasan itu, bawa petisyen kepada Parlimen. Jika petisyen disokong lebih 50 peratus pengundi, maka wakil rakyat mereka perlu kosongkan kerusi dan pilihan raya diadakan semula,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Tenggara di Felda Sungai Sayong, di sini hari ini

Beliau menjelaskan,undang-undang antilompat parti asalnya disarankan oleh UMNO selepas parti itu ‘tercedera’ kerana ramai Ahli Parlimennya melompat keluar parti selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.

“Kita kemukakan supaya rang undang-undang antilompat parti mesti ada. Kalau tidak, negara kita sentiasa saja kucar-kacir, diugut oleh mereka (wakil rakyat) yang kadang-kadang lebih kepada kepentingan peribadi.

“UMNO cadang buat satu undang-undang padat dan ketat, tapi banyak pula pihak tidak setuju, ada kata tak perlu keluar parti, tak perlu kosongkan kerusi jika wakil rakyat parti itu sokong parti sebelah (parti lain),” katanya.

Semalam, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilapor berkata, kerajaan sedia berbincang untuk meminda akta antilompat parti bagi memperbaiki kelompangan yang ada seperti pernah diusulkan Pakatan Harapan (PH) pada 2022, namun ditolak kerajaan masa itu.

Isu tercetus selepas Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul pada Selasa lalu, membuat keputusan berdasarkan Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan untuk menolak permohonan Bersatu mengosongkan enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyatnya yang menyokong Anwar.

Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 (Akta A1663) melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti sudah berkuat kuasa sejak Oktober 2022.

Related posts

Leave a Comment