Menanti ‘pendirian’ Speaker Dewan Rakyat

APAKAH nasib enam anggota Parlimen yang sebelum ini mewakili Bersatu tetapi keahlian mereka terhenti secara serta-merta selepas mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim?

Bersatu sudah mengemukakan notis kepada Speaker Dewan Rakyat (DR), Johari Abdul meminta supaya enam kerusi Parlimen diwakili wakil rakyatnya dikosongkan.

Mengambil contoh Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang mengisytiharkan kekosongan kerusi DUN Nenggiri atas alasan sama iaitu keahlian terhenti, adakah Johari juga akan berbuat demikian?

Tetapi Kelantan di bawah penguasaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sudah tentu tidak akan menangguhkan kekosongan itu sedangkan di peringkat Persekutuan, kuasa ada pada Kerajaan Perpaduan.

Begitu juga Selangor yang di bawah penguasaan kerajaan PH-BN yang sudah menerima notis kekosongan kerusi DUN Selat Klang selepas wakil rakyatnya menyokong kepemimpinan kerajaan negeri pimpinan Amirudin Shari.

Berapa lama masa akan diambil oleh DUN Selangor untuk mengisytiharkan kekosongan itu dan kemudiannya memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) supaya Pilihan Raya Kecil (PRK) dapat diadakan.

Adakah Johari akan menunggu keputusan mahkamah (jika ada) atau sebaliknya mengekalkan kedudukan enam ahli Parlimen itu sehingga tamat penggal? Jika itu keputusannya apa alasan yang boleh diterima pakai oleh kedua-dua pihak?

Enam Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong Anwar sebelum ini ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang),  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Dr Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang).

Adakah mereka masih boleh menghadiri sidang Dewan Rakyat yang akan berlangsung selama 15 hari bermula Isnin ini hingga 18 Julai?

Bagi Timbalan Yang di-Pertua Dewan Rakyat,  Ramli Md Nor, tidak semestinya tindakan Speaker DUN Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan pengosongan kerusi Nenggiri perlu diikuti, tambahan pula kata putus sebenar berkaitan pengosongan kerusi itu boleh dikemukakan ke mahkamah.

“Ini pandangan peribadi saya ya, bukan pandangan (rasmi) Parlimen Malaysia. Apa-apa sekali pun yang diputuskan, kosong (kerusi) atau tidak, yang berkuasa memutuskannya adalah Speaker dewan yang berkenaan. (Kalau) di Kelantan, Speaker DUN yang berkaitan.

Tak semestinya (harus ikut), kerana kata putusnya masih di peringkat mahkamah yang akan menentukan sama ada perkara ini dibawa ke mahkamah atau tidak,” katanya baru-baru ini.

Pada masa yang sama katanya, krisis Perlembagaan tidak akan berlaku walaupun Speaker Dewan Rakyat memutuskan enam Ahli Parlimen daripada Bersatu yang digugurkan keahlian parti, kekal pada kedudukan mereka sehingga habis penggal.

Turut menarik perhatian apabila timbul persoalan mengenai kedudukan sebenar dua wakil rakyat bekas ahli Bersatu di Kelantan iaitu Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) dan Zahari Kechik (Jeli).

Adakah mereka tidak perlu mengosongkan kerusi kerana pada pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), mereka bertanding atas tiket atau logo Pas, bukannya Perikatan Nasional (PN) atau Bersatu.

Adakah isu wakil rakyat yang menang atas tiket partinya atau parti lain tetapi kemudiannya menyokong pemimpin parti lain tiada kaitan dengan Akta Anti Lompat  Parti? Dalam kes Bersatu, mereka Isytihar sokongan tanpa meninggalkan parti.

Sama ada kedudukan enam ahli Parlimen itu kekal atau tidak, masih ada kelompongan pada akta berkaitan yang boleh menjejaskan kestabilan politik.

Matlamat asal Akta Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 (Akta A1663) adalah melarang Ahli Dewan Rakyat bertukar parti atau lompat parti.

Mana-mana Ahli Parlimen yang melompat dari parti diwakilinya ketika pilihan raya ke parti lain atau bertukar menjadi Ahli Parlimen Bebas, boleh kehilangan kerusi masing-masing. Ahli Parlimen Bebas yang memilih untuk menyertai mana-mana parti politik juga boleh kehilangan kerusi. Bab ini amat jelas.

Cuma persoalan timbul apabila seseorang wakil rakyat itu ‘terhenti’ sebagai ahli, bukannya dipecat. Jika dipecat oleh parti, mereka masih boleh mengekalkan kedudukan masing-masing di kerusi yang dimenangi dalam pilihan raya.

Maka parti politik tidak berani memecat wakil rakyat kerana tindakan itu seolah-olah memberi‘kemenangan’ percuma.

Apa pun dari segi moralnya, apa juga yang terkandung dalam akta, wakil rakyat yang beralih arah sama ada melompat parti atau sekadar mengisytiharkan sokongan kepada pemimpin parti lain wajar mengosongkan kerusi masing-masing.

Ini kerana mereka asalnya bertanding atas tiket parti sendiri, kempen menggunakan jentera dan wang parti. Begitu juga sokongan pengundi walaupun ada yang terarah kepada individu tetapi majoritinya adalah memilih parti.

Justeru amat tidak wajar mereka ‘mengkhianati amanah’ atau mandat bukan sahaja parti tetapi pengundi yang telah memilih mereka bermula sebagai calon sehinggalah memenangi pilihan raya.

Biarlah mereka ini bertanding semula untuk mendapatkan mandat baharu dan membuktikan kepada umum bahawa pilihan mereka untuk berpaling tadah menyokong parti lain sebagai keputusan yang betul, bukan satu kesilapan.

Kembalikan hak pengundi atau rakyat di kawasan berkenaan untuk menghakimi mereka sama ada layak menjadi wakil ratau tidak.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment