Melaka: Rundingan BN hanya tujuh kerusi

BEIJING – Barisan Nasional (BN) hanya akan merundingkan kedudukan tujuh kerusi yang bukan milik gabungan itu dengan mana-mana pihak yang ingin membentuk kerjasama, kata Pengerusinya Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Tegasnya, BN tetap dengan pendirian untuk bertanding mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi gabungan itu sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka bulan depan.

“Prinsip kita, 21 kerusi yang kita menang itu adalah kerusi yang kita tidak berhasrat untuk kongsikan. Jika mahu mengadakan perundingan pun, kita akan berunding atas tujuh lagi kerusi yang bukan dipunyai BN,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Presiden UMNO berkata, beliau menyerahkan mandat kepada Pengerusi BN negeri, Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka, untuk membuat keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama yang akan dimeterai.

Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) meraih dua kerusi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh penamaan calon pada 31 Oktober ini, undi awal 10 November depan dan hari mengundi pada 14 November.

Nnn

Related posts

Leave a Comment