KUALA LUMPUR 22 Jun – Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuka 60 kertas siasatan berhubung kes penyamaran sebagai pegawai Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) yang melibatkan kerugian RM7.66 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Ramli Mohamed Yoosuf berkata, jumlah kertas siasatan dan nilai yang direkodkan itu adalah sehingga 15 Jun tahun ini, yang bukannya satu nilai kecil.
Katanya, kes terbaharu, pada Rabu lalu, seorang warga emas berusia 70 tahun di Johor mengalami kerugian RM584,000 selepas menjadi mangsa penipuan penyamaran sebagai pegawai NSRC.
Lebih malang katanya, siasatan yang dijalankan mendedahkan wang tersebut adalah hasil simpanan sepanjang hayat mangsa selama bekerja sebagai kerani di sebuah kilang.
Tegas beliau, kerugian yang dialami oleh mangsa kemungkinan besar boleh dielakkan, seandainya mangsa tahu mengenai modus operandi penipuan kumpulan scammer apabila melibatkan pihak NSRC.
Justeru, beliau mengingatkan, orang ramai untuk tidak mempercayai tindakan penyamaran pihak scammer menerusi panggilan daripada pihak NSRC.
“Untuk kesekian kalinya, saya maklumkan bahawa NSRC sama sekali tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu. NSRC adalah pusat panggilan berbentuk komunikasi sehala iaitu hanya menerima panggilan daripada orang ramai.
“Oleh itu, sebarang panggilan yang diterima mendakwa kononnya daripada NSRC, ia sebenarnya adalah satu penipuan,” katanya.
Nnn
