Episod baharu selepas UMNO balas jasa DAP

TAHNIAH Kerajaan Perpaduan kerana berjaya mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 11 Mei lalu. Tahniah juga kepada UMNO kerana sudah membalas budi baik DAP.

Lebih bermakna, kemenangan itu bagaikan satu hadiah istimewa sama ada daripada DAP atau daripada UMNO yang menyambut ulang tahun ke-78 penubuhan Parti Kebangsaan Melayu Bersatu itu pada hari pengundian berlangsung.

Apa pun, bukanlah satu kejutan, penyandang mampu mempertahankan kedudukan lebih-lebih lagi ketika calonnya hadir dengan “kekuatan” sebagai sebuah kerajaan sama ada di peringkat negeri Selangor atau di Persekutuan.

Dulu “kekuatan” kerajaan ini menjadi modal DAP setiap kali berhadapan pilihan raya. Pembangkang ada banyak kekurangan. Pemerintah pula ada kelebihan kerana ada banyak jentera parti, banyak wang kempen, banyak media dapat dikawal.

Mengikut pelbagai analisis, sokongan orang Melayu kepada calon Pakatan Harapan (PH) sudah meningkat berbanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu. Pembaca bolehlah rujuk pelbagai dakwaan berkaitan isu ini di media sosial.

Salah satu analisis yang Selak ambil untuk tatapan di sini adalah hasil rumusan Institut Darul Ehsan (IDE). Itu pun berkaitan sokongan Melayu.

Menurut Pengurus Kanan Penyelidikan IDE, Khairul Ariffin Mohd Munir, PH-BN menguasai kembali dua Daerah Mengundi (DM) Melayu orang Asal iaitu Kampung Air Jernih dan Pertak yang telah kalah pada PRN yang lalu.

PN kekal menguasai dua DM Melayu iaitu Bandar Utama Batang Kali  dan Ampang Pecah. Dua DM ini dikuasai PN dalam PRU dan PRN sebelum ini manakala PH masih kekal menguasai DM majoriti Cina dan DM kawasan campuran pelbagai kaum.

Jelaslah, kempen UMNO termasuk peranan veteran parti itu yang suatu masa dahulu pastinya amat membenci DAP berhasil membuka minda Melayu menerima DAP malahan dalam tempoh kempen PRK itu, DAP lebih beruntung dapat menarik anak muda dan veteran tentera menubuhkan cawangan DAP Melayu. Syabas!

Cawangan DAP Melayu yang keenam dan ketujuh di Hulu Selangor itu adalah cawangan Jalan Anggerik dan Jalan Trompet yang melibatkan veteran tentera dan anak-anak mereka serta orang muda.

Berbaloi juga rayuan terakhir Setiausaha Agung UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, yang mengingatkan orang Melayu dan penyokong UMNO dalam kawasan DUN KKB  keluar mengundi calon PH daripada DAP, Pang Sock Tao.

Bagi Pengerusi Mara itu, tidak ada sebab orang UMNO atau Melayu tidak menyokong DAP jika dulu memberi sokongan kepada MCA, parti komponen Barisan Nasional (BN) yang pada PRK ini mempertahankan prinsip tidak menyokong DAP.

Menjelang hari penamaan calon, Ketua Whip Parlimen DAP, Nga Kor Ming berharap Barisan Nasional (BN) bekerja keras membantu kemenangan calonnya sebagai membalas jasa PH terutama DAP yang memenangkan calon UMNO sewaktu PRK DUN Pelangai, tahun lalu.

Hasrat itu disambut Presiden UMNO Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menyatakan komitmen dan sokongan BN kepada calon Kerajaan Perpaduan dan PH itu yang disifatkan sebagai membalas jasa DAP.

Untuk rekod, selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang menyaksikan UMNO ‘tercorot’ berbanding parti ‘baharu’ yang lain, PRK KKB adalah yang ketujuh diadakan.

Sebelum ini berlangsung PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); DUN Simpang Jeram dan Parlimen Pulai (Johor); DUN Pelangai (Pahang); DUN Jepak (Sarawak) dan Parlimen Kemaman, Terengganu.

Setakat ini UMNO sudah berjasa kepada rakan-rakan dalam PH melalui PRK Simpang Jeram dan Pulai, kedua-duanya dimenangi Amanah. UMNO pula terhutang budi kepada PH di Pelangai tetapi kempunan di Kuala Terengganu dan Kemaman.

Hakikatnya belum ada lagi kerusi yang beralih tangan – maksudnya kerusi PH atau BN dirampas Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya. PRK tidak mengubah apa-apa kecuali mahu melihat tahap sokongan selepas kerajaan dibentuk.

Maknanya apabila PH atau BN menang bolehlah para pengulas politik memberi ulasan stereotaip bahawa kemenangan itu membuktikan rakyat menerima Kerajaan Perpaduan atau rakyat menerima Kerajaan PN. Jika kalah ada saja alasannya.

Mungkin ukuran sebenar boleh dilihat jika berlaku PRK di enam kerusi Parlimen dan satu kerusi DUN yang ketika ini diwakili Bersatu tetapi wakil rakyat berkenaan mengisytiharkan sokongan kepada Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar Ibrahim.

Kebanyakan kerusi berkenaan juga melibatkan majoriti pengundi Melayu yang akan mengukur sokongan orang Melayu sama ada kepada UMNO, Bersatu, Pas atau PKR.

Kita tunggu episod seterusnya. Sejauh mana pula peranan DAP dan rakan-rakan dalam PH mahu memenangkan calon BN atau UMNO sekiranya berlaku PRK di Labuan, Bukit Gantang, Jeli, Gua Musang, Kuala Kangsar dan Tanjong Karang.

Caption

FOTO UTAMA – Pang Sock Tao (bawah kiri) dipilih mewakili DAP bagi DUN KKB menggantikan Lee Kee Hiong (kanan) yang meninggal dunia pada 21 Mac lalu.

FOTO KE2 – UMNO mengetuai kempen Barisan Nasional bagi membantu kemenangan calon DAP yang mewakili Kerajaan Perpaduan pada PRK Kuala Kubu Bharu.

Foto ke3  – Di tengah-tengah kesibukan kempen PRK KKB, jentera DAP berjaya menambah cawangan baharu DAP Melayu di Hulu Selangor.

Related posts

Leave a Comment