KUANTAN 13 Mei – Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan diumumkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang hari ini, selepas mendapat sokongan majoriti mudah.
Mereka adalah pengasas Maahad Tahfiz Tengku Ampuan Afzan Pekan, Ahmad Irshadi Abdullah Al-Qadri; Ketua MCA Bahagian Temerloh, Wong Tat Chee; Ketua UMNO Bahagian Jerantut, Haris Salleh Hamzah; Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly dan Timbalan Pengerusi PKR Pahang, Rizal Jamin.
Usul pelantikan itu dicadangkan Menteri Besar, Wan Rosdy Wan Ismail dan disokong tujuh ADUN Pahang.
Mereka adalah Mohd Johari Hussain dari Tioman, Shafik Fauzan Sharif (Inderapura), Abd Aziz Mat Kiram (Batu Talam), Mohd Shahrim Md Zain (Chini), Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (Tras), Su Keong Siong (Ketari) dan Ho Chi Yang (Tanah Rata).
Terdahulu, Wan Rosdy, berkata pelantikan ADUN itu mengambil kira latar belakang keluarga, pendidikan dan pencapaian serta komitmen dalam khidmat bakti kepada masyarakat.
Katanya, mereka yang dilantik adalah dalam kalangan berkaliber dan berkemahiran tertentu serta berganding bahu bersama ADUN lain untuk menyumbangkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Saya percaya dengan pelantikan ini, ahli-ahli yang dilantik dapat membantu dalam mencapai misi dan visi kerajaan negeri dalam memberikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkesan,” katanya.
Sementara itu, Yang Dipertua DUN Pahang, Mohd Sharkar Shamsudin, berkata lima ADUN lantikan itu akan mengangkat sumpah pada Sidang DUN Pahang, Ogos depan.
Katanya, tiada kawasan yang diberikan kepada lima ADUN lantikan itu dan mereka berkhidmat dalam usaha membantu kerajaan negeri.
“Pelantikan lima ADUN lantikan ini memerlukan tujuh penyokong dan pencadang serta majoriti mudah.
“Mereka sudah menjadi ADUN lantikan, tetapi mereka belum mengangkat sumpah dan akan berbuat demikian pada Sidang DUN Pahang pada Ogos depan,” katanya pada sidang media selepas penangguhan DUN Pahang.
