Stoking: 29 April sebutan semula kes

SHAH ALAM 26 Mac – Tujuh pihak termasuk KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd dan Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga pembekal stoking tertera kalimah Allah kepada rangkaian kedai serbaneka itu didakwa di Mahkamah Sesyen hari ini.

Lima individu yang didakwa adalah Pengasas, Pengarah dan Pengerusi Eksekutif Kumpulan KK Super Mart, Datuk Seri Dr Chai Kee Kan, 57, dan isterinya yang juga pengarah syarikat sama, Datin Seri Loh Siew Mui, 53.

Selain itu, Pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd yang juga tiga beranak iaitu Soh Chin Huat, 61; isterinya, Goh Li Huay, 62; dan anak mereka, Soh Hui San, 36.

Kesemua individu berkenaan mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dikemukakan di hadapan Hakim, Muhamad Anas Mahadzir.

Mengikut pertuduhan, Kee Kan dan Siew Mui didakwa dengan sengaja berniat melukakan perasaan umat Islam dengan mempamerkan stoking bercetak kalimah Allah di rak pameran jualan di KK Supermart & Superstore Sdn Bhd di Jalan PJS 11/7, Bandar Sunway, pukul 6.30 pagi pada 13 Mac lalu.

Pendakwaan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan (KK) yang membawa hukuman penjara hingga setahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Tiga pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd pula berdepan pertuduhan bersubahat melakukan kesalahan berkenaan di tempat, tarikh dan masa sama mengikut Seksyen 109 KK dibaca bersama Seksyen 298 KK yang memperuntukkan hukuman sama.

Susulan pengakuan tidak bersalah, peguam mewakili dua pengasas kedai serbaneka itu,  Rajpal Singh, mencadangkan jaminan RM12,000 untuk kedua-dua anak guam, manakala peguam bela tiga pengarah Xin Jian Chang Sdn Bhd, Lau Yi Leong, pula memohon jaminan RM5,000 masing-masing untuk anak guam.

Namun, Timbalan Pendakwa Raya, Masri Mohd Daud, memohon jaminan RM15,000 masing-masing bagi lima tertuduh, sebelum hakim membenarkan semua mereka diikat jamin RM10,000 setiap seorang dan menetapkan 29 April ini untuk sebutan semula kes.

Pada 13 Mac lalu, tular di media sosial isu stoking tertera kalimah Allah dijual di KK Mart Bandar Sunway selepas gambar produk itu dimuat naik pengguna.

Tiga hari selepas itu, pengurusan KK Super Mart memohon maaf berhubung penjualan stoking berjenama Miranosock yang tertera kalimah Allah di beberapa cawangan kedai serbaneka itu.

Syarikat itu berkata, jualan stoking berkenaan dihentikan serta-merta sementara menunggu penjelasan daripada pembekal.

Dalam pada itu, pihak pembelaan KK Super Mart & Superstore Sdn Bhd serta dua pengarahnya berharap orang ramai tidak mengeluarkan kenyataan susulan pendakwaan di mahkamah kerana melukakan perasaan orang Islam berhubung penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka itu.

Peguam,  David Gurupatham, berkata kenyataan itu akan memprejudiskan perbicaraan yang adil.

“Beri ruang kepada mahkamah menegakkan keadilan,” katanya pada sidang media di lobi mahkamah.

Sementara itu, seorang lagi peguambela KK Super Mart,  Rajpal Singh, menyifatkan gesaan untuk tidak memberi kenyataan mengenai kes itu sebagai penting.

“Biar mahkamah membuat keputusan. Polis sudah menjalankan tugasnya dan pendakwaan membuat keputusan untuk mendakwa mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan.

“Biar proses pengadilan berjalan dan semua orang perlu membiarkan mahkamah menjalankan proses undang-undang,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment