SEPANG 17 Okt . – Bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, direhatkan daripada semua aktiviti rasmi parti Bersama selama tiga bulan, berkuat kuasa 20 Oktober ini hingga 19 Januari 2027.
Presiden Bersama, Syukri Razab berkata keputusan itu dibuat susulan pengakuan Nik Nazmi berkaitan pembabitannya dalam satu kes yang tersebar, baru-baru ini.
“Bersama memandang serius perkembangan ini dan berpendirian bahawa setiap isu yang melibatkan kepimpinan serta anggota parti perlu ditangani dengan sewajarnya, demi memelihara integriti, kredibiliti dan keyakinan masyarakat terhadap parti,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Syukri, keputusan merehatkan Nik Nazmi yang juga pemimpin Bersama daripada aktiviti rasmi parti selama tiga bulan perlu dan munasabah.
Terdahulu bekas Ahli Parlimen Setiawangsa itu mengesahkan beliau adalah salah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam tangkapan di Petaling Jaya pada, 15 Oktober lalu.
Sebelum ini Pengarah JAIS Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes khalwat melibatkan seorang figura awam di sekitar daerah Petaling, pada sekitar pukul 6 petang.
Nnn
