Kempen beli barangan orang Melayu

Kempen beli barangan orang Melayu

SEPANG  26 Mac – Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) melancarkan kempen menggesa seluruh ahli Putra dan rakyat Malaysia yang beragama Islam, khususnya kaum Melayu membelanjakan wang mereka di pasar dan kedai milik Melayu.

Ahli Dewan Tertinggi Putra yang juga Ketua Penyelaras BMF Putra, Mohamed Shahrin Ismail berkata, pada masa yang sama kempen Buy Malaysia First (BMF) itu juga bagi memastikan mereka membeli produk halal serta benar-benar bersih.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, pendekatan ini wajar kerana ekonomi Bumiputera ketika ini amat kritikal dan lemah berbanding kaum minoriti lain yang semakin maju dan terkehadapan.

Menurut beliau, orang Melayu wajib menunjukkan solidariti mereka kepada bangsa sendiri dan memastikan ekonomi Bumiputera kukuh dan tidak dialirkan kepada orang lain bagi memastikan ekonomi dikuasai oleh orang Melayu pada masa akan datang.

Beliau menarik perhatian bagaimana kejayaan kaum India ketika melancarkan kempen Buy India First (BIF) awal 1980an yang melahirkan usahawan dan peniaga kaum itu bagi meningkatkan pendapatan serta memajukan kaum itu sendiri.

“Akhirnya kini kita dapat lihat kempen khas yang dilaksanakan hampir 40 tahun memberi kejutan kepada negara dengan adanya ramai jutawan termasuk antara 10 ranking teratas jutawan di dalam negara,” katanya.

Begitu juga kaum Cina yang telah lama melancarkan kempen Buy Cina First (BCF) sejak dahulu lagi dengan slogan “kalau orang Cina tidak menolong orang Cina kita akan kehilangan kedudukan kita”.

Putra juga menekankan kepada usahawan Bumiputera supaya mengeluarkan produk yang berkaitan keperluan orang Islam, baik dari segi makanan, pakaian dan keperluan agama Islam.

“Kita jangan benarkan keperluan bangsa kita dari kelahiran, perkahwinan sehingga pengurusan kematian disediakan oleh bangsa lain dan bergantung kepada usahawan bukan Bumiputera,” katanya.

Katanya, Putra tegas dalam kempen Buy Malay First (BMF), membeli dan mengguna barangan Melayu ini kerana dengan jumlah majoriti Melayu di dalam negara, kaum itu dalam tempoh 10 hingga 20 tahun akan datang akan menguasai ekonomi negara.

Beliau turut menyarankan supaya kaum lain tidak menggunakan logo atau tulisan jawi untuk memanipulasikan jualan mereka.

Dalam hal ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dan Jakim perlu cakna bagi memastikan barangan yang bersih dan halal digunakan oleh orang Islam.

“Kesedaran BMF membeli di kedai orang Melayu memberi peluang kepada orang Melayu berjaya di negara sendiri dan dengan terlaksananya kempen BMF sekaligus memberi kejayaan kepada penguasan ekonomi bumiputera,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment