Guna media sosial secara beradab, bukan menghina

SHAH ALAM 17 Okt. – Semua pihak diingatkan supaya tidak menjadikan media sosial pentas untuk menghina, memaki, mencaci dan menjatuhkan maruah seseorang sebaliknya digunakan dengan penuh adab serta rasa hormat kepada orang lain.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim ketika menegaskan demikian bertitah, setiap kebebasan yang diperoleh datang bersama dengan tanggungjawab.

Baginda yang juga Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) bertitah demikian susulan terdapat sesetengah pihak yang menggunakan media sosial sebagai tempat untuk menghasut, menimbulkan kebencian dan memecahbelahkan masyarakat.

“Berbeza pandangan bukan alasan untuk bermusuhan. Kita boleh tidak bersetuju, tetapi nyatakan pandangan dengan bahasa yang baik dan beradab. Jika hendak mengkritik, sampaikan secara membina.

Jika hendak menegur, maka tegurlah dengan penuh berhemah,” titah Seri Paduka pada Istiadat Konvokesyen (UiTM) ke-105 di Dewan Agung Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam, di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang juga Pro-Canselor UiTM.

Menteri Pendidikan Tinggi, Dr Zambry Abdul Kadir dan Naib Canselor UiTM, Prof Dr Shahrin Sahib@Sahibuddin turut hadir menyaksikan 32,630 graduan menerima diploma serta ijazah dalam pelbagai bidang bermula hari ini hingga 16 Disember.

Sultan Ibrahim juga mengingatkan rakyat supaya tidak menyalahgunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan gambar dan video palsu dengan niat menghina atau memalukan seseorang.

Titah Seri Paduka, di sebalik setiap nama dan wajah yang dibenci dan dicaci itu, ada insan yang mempunyai keluarga, maruah dan perasaan.

“Dari kecil kita diajar tentang adab untuk menghormati orang tua, tertib dalam berbicara, dan tidak memandang rendah antara agama dengan bangsa kerana sesungguhnya, adab bukan sekadar bersopan santun, tetapi merupakan nadi yang membentuk maruah negara.

“Namun, dalam kemajuan dunia digital dan media sosial pada hari ini, ada yang telah lupa adab dan bebas untuk menghina, mencaci, memaki hamun dan menjatuhkan maruah orang lain,” titah Seri Paduka.

Justeru itu, baginda bertitah agar rakyat tidak mudah mempercayai atau menyebarkan sesuatu berita sebelum memastikan kesahihannya sehingga akhirnya menjadi orang yang menyebarkan fitnah dan kebencian.

“Saya mahu melihat kita menjadi sebuah masyarakat yang matang dalam berkomunikasi, bebas bersuara dengan penuh adab, berani memberikan pandangan, tetapi tidak menghina, dan tegas mempertahankan pendirian tanpa menanam kebencian,” titah baginda.

Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim berkenan kampus UiTM di Jalan Othman, Petaling Jaya, dinamakan Kampus Tun Arshad Ayub bagi menghargai jasa dan sumbangan Allahyarham yang telah menerajui penubuhan dan pembangunan UiTM sejak 1965.

Allahyarham yang meninggal dunia pada 2022 ialah pengarah pertama Institut Teknologi MARA (ITM) sejak 1967 hingga 1975, sebelum dikenali sebagai UiTM dan dianggap sebagai pencetus idea kepada perkembangan pendidikan di institusi itu.

UiTM turut menganugerahkan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Roziah Mohd Janor yang juga bekas Naib Canselor wanita pertama UiTM.

(foto FB Sultan Ibrahim)

Nnnnnn

Related posts

Leave a Comment