Kolam takungan pecah punca banjir

KUALA LUMPUR 18 Julai – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mendedahkan punca banjir di beberapa kampung di Baling, awal bulan ini, disebabkan kolam takungan di projek tanaman durian Musang King di puncak Gunung Inas, pecah.

Menteri Alam Sekitar dan Air,  Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata punca itu dikesan melalui kajian yang dilaksanakan oleh kementerian itu.

Kajian mendapati terdapat satu kolam takungan yang pecah sehingga menyebabkan banjir di beberapa kampung termasuk Kampung Iboi, Kampung Padang Lengkuas, Bukit Hangus dan Kampung Pisang.

“Kalau dilihat dari kadar hujan, ia tidak lebat sekadar 36 hingga 40 milimeter (mm) sahaja,” katanya menjawab soalan tambahan RSN Rayer (PH-Jelutong) mengenai situasi banjir di Gunung Inas, Baling, pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Tuan Ibrahim berkata, susulan kejadian itu, kerajaan meluluskan enam projek bagi membendung kejadian yang sama di situ antaranya membabitkan pembinaan Rancangan Tebatan Banjir (RTB) fasa satu dan dua di Baling dengan peruntukan RM175 juta.

Kerajaan juga akan membina dua struktur sabo bagi mengurangkan risiko aliran puing bernilai RM20 juta selain kerja mendalamkan sungai serta pembaikan jambatan dengan peruntukan RM6 juta.

Tuan Ibrahim berkata, KASA akan mengarusperdanakan adaptasi perubahan iklim dalam pengurusan banjir bagi meningkatkan daya tahan dan kesediaan negara menghadapi impak perubahan iklim.

Beliau berkata, ia turut mengambil kira integrasi pengurusan risiko bencana melalui mitigasi jangka pendek dan jangka panjang pengurusan banjir membabitkan pendekatan secara struktur dan bukan struktur.

Related posts

Leave a Comment