JASIN 17 Okt. – Sama seperti UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang akan mempertahankan kerusi dikuasai di Melaka, Perikatan Nasional (PN) juga mempunyai hasrat sama di kawasan yang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu.
Presiden Wawasan, Hamzah Zainuddin berkata, sekiranya UMNO mahu mempertahankan kerusi dimenanginya, prinsip sama juga perlu diberikan kepada Wawasan, komponen PN pada Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN) Melaka.
Pada pilihan raya lalu, dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sungai Udang dan Bemban dimenangi atas tiket PN.
“Jadi kalau konsepnya UMNO kata dia nak mempertahankan kerusi yang mereka menang, pasal apa pula dia tak nak bagi saya mempertahankan kerusi yang kita menang,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi Wawasan di sini, hari ini.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, pihaknya terbuka untuk membincangkan pertukaran kerusi sekiranya BN mempunyai kerusi yang mahu ditandingi Wawasan.
“Kalau dia nak kerusi mana satulah contohnya, boleh… tetapi saya maklumkan kita nak pertahankan kerusi kita. Kalau mereka nak, kenalah duduk dengan kita untuk bincangkan kerusi yang sesuai. Kerusi yang boleh menentukan kemenangan sama ada di pihak PN ataupun BN,” katanya.
Mengulas laporan Wawasan hanya akan bertanding satu kerusi iaitu DUN Paya Rumput, Hamzah menyifatkannya sebagai spekulasi tanpa mengesahkan jumlah sebenar kerusi yang akan ditandingi.
Sebelum ini, media melaporkan desas-desus Wawasan hampir pasti diberikan satu kerusi iaitu DUN Paya Rumput dengan Ketua Penaja Wawasan Bahagian Tangga Batu, Ramlan Meon, 40, disebut-sebut sebagai calon berpotensi.
Pada pilihan raya 2021, Dr Mohd Aleef Yusof dan Dr Mohd Yadzil Yaakub masing-masing memenangi kerusi Sungai Udang dan Bemban atas tiket PN sebelum meninggalkan Bersatu dan menyertai Wawasan.
Nnnnn
