Dr Akmal lapor polis ugutan bunuh

JASIN 26 Mac – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Salleh yang lantang bersuara mengenai stoking tertera kalimah Allah membuat laporan polis berhubung ugutan bunuh yang diterimanya pagi tadi.

Laporan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin kira-kira pukul 5 petang tadi.

Ketika ditemui, Dr Muhamad Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan EXCO Melaka, berkata laporan dibuat bagi melindungi keselamatan diri dan keluarga daripada ancaman.

“Mula-mula saya tak nak buat tetapi apabila ada satu laporan mengenai perkara ini, saya fikir ia perkara yang serius untuk saya melindungi keselamatan ahli keluarga.

Saya harap pihak polis dapat menjalankan siasatan dan kita tunggu apa keputusannya selepas ini,” kata Ketua UMNO Bahagian Jasin itu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Sementara itu, dalam satu video yang dimuat naik di Facebook, beliau mendakwa ugutan bunuh itu dimaklumkan oleh seseorang yang menghubunginya ketika dalam perjalanan ke satu program di Lipat Kajang, di sini pagi tadi.

Beliau bagaimanapun tetap dengan pendiriannya, tidak akan berganjak walau seinci.

“Kita ada Allah, saya serahkan kepada Allah dan juga pihak berkuasa untuk siasatan seterusnya. Jangan mengalah , kekal boikot” katanya.

Ia dipercayai mempunyai kaitan dengan kelantangan beliau dalam memperkatakan isu penjualan stoking tertera kalimah Allah sejak kebelakangan ini.

Related posts

Leave a Comment