SEPANG 17 Okt. – Bekas Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan beliau adalah salah seorang daripada dua individu yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam tangkapan di Petaling Jaya pada, 15 Oktober lalu.
“Saya ingin mengesahkan saya adalah salah seorang daripada individu dalam insiden tersebut” katanya dalam satu kenyataan.
Pemimpin Parti Bersama Malaysia (Bersama) itu menjelaskan, beliau bersama rakan-rakannya memulakan perbincangan di sebuah studio di Brickfields, Kuala Lumpur, kemudian memutuskan untuk meneruskannya di Petaling Jaya bagi melihat beberapa bahan berkaitan projek yang dibincangkan.
“Pada masa pegawai JAIS tiba, sememangnya hanya saya dan wanita tersebut yang ada. Saya mengakui itu adalah suatu kesalahan. Seperti yang saya maklumkan juga kepada Pegawai JAIS, kami sememangnya tidak melakukan apa-apa tindakan sumbang yang menimbulkan syak wasangka,” katanya.
Sebelum ini Pengarah JAIS, Mohd Shahzihan Ahmad mengesahkan dua individu ditahan bagi membantu siasatan berhubung kes khalwat melibatkan seorang figura awam di sekitar daerah Petaling, pada sekitar pukul 6 petang.
Nik Nazmi yang juga bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam menegaskan, beliau tidak mahu memanjangkan isu itu dan akan memberikan kerjasama bagi sebarang proses perundangan.
“Saya ingin memohon maaf kepada isteri keluarga dan keluarga kami dan semua yang terkesan di atas kesilapan pertimbangan pada waktu kejadian yang tidak sewajarnya berlaku.
Saya juga memohon maaf kepada parti Bersama kerana mengecewakan ahli-ahli dan penyokong, memandangkan isu ini menjejaskan parti dan akan menerima apa jua keputusan parti.
“Saya berharap semua pihak akan menghormati proses perundangan dan tidak memanjangkan perbicaraan menerusi media,” katanya.
