Mesej kepada PM selepas mengaku tidak bersalah

KUALA LUMPUR 23 Jan. – Mengaku tidak bersalah atas pertuduhan ke atasnya, Na’imah Abdul Khalid menyampaikan mesej kepada Anwar Ibrahim bahawa kuasa itu sementara dan sentiasa ada perhitungan bagi yang menyalahgunakannya.

Isteri bekas Menteri Kewangan Daim Zainuddin itu menyampaikan mesej kepada Perdana Menteri selepas prosiding pendakwaan di mahkamah hari ini.

“Saya telah didakwa pagi ini atas kesalahan jenayah. Tetapi, tiada jenayah dilakukan oleh saya dan saya akan membuktikannya di mahkamah,” katanya kepada media di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Naimah 66, berkata, pihaknya yakin apa juga bentuk penyalahgunaan kuasa sentiasa ada perhitungannya.

“Sepertimana kata-kata (William) Shakespeare yang sering kamu petik: Man, proud man. Drest in a little brief authority. (Manusia sombong. Menyarung kuasa yang singkat ini.) Yang selebihnya sudah diketahui,” katanya

Terdahulu Na’imah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur atas pertuduhan gagal mengisytiharkan 12 harta seperti dikehendaki oleh Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Disember lalu.

Na’imah, mengaku tidak bersalah sejurus tuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Beliau seterusnya berkata jenayah yang sebenar adalah “perancangan rapi untuk mencemarkan nama baik suaminya” serta melunaskan dendam politik terhadap keluarganya.

“Jenayah yang sebenar adalah memandulkan dan menyalah guna institusi utama negara seperti SPRM dan Jabatan Peguam Negara dalam melunaskan dendam politik.

“Jenayah yang sebenar adalah menggunakan kuasa bagi tujuan peribadi dan bukan untuk kepentingan rakyat.

“Jenayah yang sebenar adalah berdendam dalam mengejar musuh politik lampau yang tidak berkuasa lagi, dengan tuduhan tidak berasas, ketika ekonomi terus terbantut, reformasi diabaikan dan negara merudum,” katanya.

Mengikut pertuduhan, Na’imah didakwa memberi satu pernyataan bertulis bersumpah yang tidak mematuhi terma notis mengikut Seksyen 36(1)(b) Akta SPRM 2009 (Akta 694) bertarikh 8 November lalu yang dihantar kepada tertuduh oleh seorang pegawai SPRM berpangkat Pesuruhjaya pada 14 November 2023, iaitu dengan tidak mengisytiharkan harta.

Harta itu membabitkan dua syarikat iaitu Ilham Tower Sdn Bhd dan Ilham Baru Sdn Bhd serta dua Mercedes Benz, selain lapan hartanah membabitkan Menara Ilham, sebuah kediaman di Bukit Tunku, di sini serta enam lagi bangunan dan lot tanah di Taman Tunku dan Bukit Tunku, di sini; Cantoment Road, Pulau Pinang serta Jalan Anthinahapan, Taman Tun Dr Ismail, di sini.

Kesalahan didakwa dilakukan di ibu pejabat SRPM, Lebuh Wawasan, Presint 7, Putrajaya, pada 13 Disember lalu mengikut Seksyen 36(2) Akta SPRM 2009 (Akta 694) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun dan denda maksimum RM100,000 jika disabitkan kesalahan.

Susulan pengakuan tidak bersalah itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Feisal Mohd Azmi, mencadangkan jaminan RM500,000 terhadap tertuduh.

Syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah dan tertuduh dikehendaki melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan.

“Tertuduh dalam kes ini adalah sama seperti tertuduh lain, kami berpendapat adalah adil untuk tetapkan syarat seperti tertuduh kes lain,” katanya.

Bagaimanapun, peguam bela Na’imah, Mohd Yusof Zainal Abidin, menyifatkan cadangan jaminan pendakwaan itu sebagai terlalu tinggi sebelum mencadangkan anak guam diikat jamin RM250,000.

“Jumlah jaminan mesti sesuai dengan kesalahan didakwa dilakukan. Anak guam tidak terbabit kes jenayah seperti keganasan yang menjadikan beliau ada risiko melarikan diri.

“Na’imah sudah memberi kenyataan dan tunggu untuk melawan kes ini, tiada sebab melaporkan diri setiap bulan,” katanya.

Hakim membenarkan jaminan RM250,000 terhadap tertuduh dengan seorang penjamin serta syarat tambahan pasport diserah kepada mahkamah hingga kes selesai.

Tiada syarat melaporkan diri dan sebutan semula kes ditetapkan pada 22 Mac ini.

Nai’mah hadir dengan berbaju kurung hijau dan diiringi beberapa individu dipercayai peguamnya sebelum memasuki lobi mahkamah pukul 8.30 pagi.

Pada 10 Januari lalu, Na’imah bersama dua anaknya, Muhammed Amin dan Muhammed Amir, memberi keterangan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya, bagi membantu siasatan rasuah terhadap Daim.

Nnn

Related posts

Leave a Comment