Haji 1445H: Awasi scammer, rujuk TH, pilih PJH

TAHNIAH kepada bakal jemaah haji yang sudah mendapat tawaran untuk menunaikan haji, rukun Islam ke lima yang wajib jika berkemampuan. Syukur, anda antara 31,600 jemaah yang terpilih memenuhi kuota bagi musim haji 1445H/2024M.

Masih ramai yang menanti giliran, bagaikan menunggu buah yang tidak gugur. Bagi yang sudah terpilih, bersyukurlah dan bersedia dengan fizikal dan mental. Bagi yang belum mendapat tawaran, terus bersabar. Maknanya, belum ada ‘kemampuan’.

Kos haji musim ini meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lalu berikutan kenaikan kos meliputi seluruh rantaian perkhidmatan haji iaitu penginapan, penerbangan, sajian, visa, perkhidmatan semasa di tanah air dan di Tanah Suci.

Bagaimanapun seperti sebelumnya kerajaan masih memberi bantuan kewangan atau subsidi apabila jemaah tidak membayar sepenuhnya kos yang dikenakan kecuali bagi golongan T20.

Bakal haji Muassasah kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu dikenakan bayaran RM12,356, manakala RM19,152 bagi kumpulan M40.

Ini bermakna Lembaga Tabung Haji (TH) memperuntukkan bantuan kewangan haji sehingga 63 peratus (RM20,944) daripada kos haji untuk golongan B40, manakala 42 peratus (RM14,418) bagi M40. Syukur Alhamdulillah.

Mulai sekarang, bakal jemaah bolehlah membuat pilihan sama ada untuk memilih pakej muassasah yang dikendalikan sepenuhnya oleh TH atau mendapatkan perkhidmatan yang ditawarkan oleh 25 syarikat Pengelola Jemaah Haji (PJH).

Seperti tahun lalu, 25 PJH masih meneruskan tawaran Pakej Rahmah dengan harga bawah RM50,000 selain pakej lain yang disediakan mengikut pelbagai kemudahan yang ditawarkan. Apa yang pasti, ada pakej bukan Muassasah di bawah RM50,000.

Maknanya dengan sedikit tambahan berbanding harga asal Muassasah RM30,850, bakal jemaah dapat menikmati Pakej Rahmah.

Bagi yang masih ada lebihan wang, bolehlah memilih pakej lain yang ditawarkan oleh 25 PJH ini. Layari tawaran PJH melalui atas talian atau kunjungi Karnival Haji, Umrah & Pelancongan Pengelola Jemaah Haji (Karnival PJH) 1445/2024M di Pusat Konvensyen Movenpick dekat Sepang yang berlangsung sehingga esok, Ahad.

Semalam, sebelum Karnival PJH dirasmikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Mohd Na’im Mokhtar pada sebelah petang, lebih 2,000 orang sudah mengunjunginya.

Sambutan itu amat menggalakkan ketika bakal jemaah haji masih menyemak status tawaran melalui aplikasi THiJARI. Mungkin jika keputusan tawaran itu diketahui lebih awal, lebih ramai yang awal-awal lagi berkunjung ke karnival itu.

Banyak tawaran yang disediakan oleh 25 PJH yang terpilih, bukan sahaja khusus untuk haji tetapi juga untuk ibadah umrah. Syarikat atau agensi yang terpilih kebanyakannya memang berpengalaman.

Terserah kepada bakal jemaah membuat pilihan asalkan tidak terkeluar daripada senarai PJH.

Adalah menjadi kesalahan sekiranya syarikat pelancongan yang tidak mempunyai lesen PJH menawarkan pakej haji serta mengelola perkhidmatan haji, kerana tindakan itu melanggar Seksyen 27, Akta Tabung Haji 1995, Akta 535.

Pada karnival itu juga, ramai yang belum mendapat tawaran tetapi membuat tinjauan awal pakej sebagai persediaan jika rayuan mereka diterima. Untuk rekod, rayuan akan dibuka mulai 26 Januari dengan melayari THiJARI.

Kos untuk kes rayuan ini adalah bayaran penuh sebanyak RM33,300 dengan pengecualian kepada mereka yang menjadi mahram, pembantu jemaah lanjut usia dan pembantu jemaah kelainan upaya bagi jemaah yang terpilih.

Dalam situasi yang ada hari ini, ketika ramai yang masih menaruh harapan untuk mendapatkan tawaran, sudah ada pihak yang mengambil kesempatan untuk cuba menipu bakal jemaah. Scammer sentiasa mengambil peluang untuk ‘mencuri’ wang.

Difahamkan, scammer akan menghantar mesej memaklumkan penama terpilih dan meminta nombor kad pengenalan dan akaun bank.

Berhati-hatilah. Urusan haji ini adalah di bawah kuasa TH. Sentiasa rujuk sebarang persoalan mengenai ibadah haji ini kepada TH manakala urusan pengendalian pula, selain TH (Muassasah), 25 PJH diberi tanggungjawab itu.

Jangan dipengaruhi scammer. Kita tidak mahu lagi mendengar jemaah terkandas tanpa visa, tiket penerbangan dan sebagainya. Semoga perjalanan ibadah ini berjalan lancar dan tenang, bermula dari tanah air sehingga ke Tanah Suci Makkah.

Related posts

Leave a Comment