Abang Johari enggan ulas isu YDPN

KUCHING 20 Jan. – Premier Sarawak, Abang Johari Abang Openg enggan mengulas spekulasi pelantikan Yang di-Pertua Negeri Sarawak yang baharu dan peletakan jawatan Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar sebagai Speaker Dewan Negara.

“Tak perlu saya komen kerana itu kuasa Yang di-Pertuan Agong,” itu reaksi Abang Johari berhubung isu berkenaan.

Katanya, beliau tidak dapat mengulas isu pelantikan Yang di-Pertua Negeri secara terbuka kerana ia kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Jadi saya tidak komen lebih daripada itu kerana ia hak mutlak Yang di-Pertuan Agong,” katanya selepas Majlis Perasmian Eden Damai Wellness di Damai Lagoon Resort di Santubong, hari ini.

Ditanya adakah Wan Junaidi benar-benar meletak jawatan kerana bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) itu turut berdiam diri selepas laporan mengenainya tular di media sosial semalam, Abang Johari, turut enggan mengulas lanjut.

“Tanya dengan beliau. Minta maaflah, saya tidak dapat memberi komen lebih daripada itu,” katanya.

Dalam pada itu, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah, turut enggan mendedahkan isu pelantikan jawatan ketua negeri itu menjadi agenda perbincangan mesyuarat diadakan Khamis lalu dan semalam.

“Saya difahamkan beliau (Wan Junaidi) akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai keputusannya meletakkan jawatan selaku Speaker Dewan Negara.

Ada yang mendakwa ia disebabkan beliau akan dilantik sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak, tetapi itu hanya ramalan yang kadang kala betul, ada kalanya tidak.

“Memang Khamis lalu Kabinet Sarawak mengadakan mesyuarat, tetapi pelantikan Yang Dipertua Negeri tidak dibincangkan, manakala mesyuarat hari ini adalah mesyuarat tertutup, jadi ia sulit,” katanya selepas Majlis Perasmian Bangunan Kawasaki Kuching di Travilion Centre di Jalan Petanak, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata, beliau difahamkan Wan Junaidi akan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung peletakan jawatannya itu dalam masa terdekat.

“Jika keputusan itu bersangkut paut dengan pelantikan sebagai Yang Dipertua Negeri, mungkin juga sebab tempoh Yang Dipertua Negeri sekarang (Tun Abdul Taib Mahmud) akan tamat tidak lama lagi.

“Tetapi sama ada perkhidmatan Abdul Taib dilanjutkan atau tidak, terpulang kepada cadangan daripada Kerajaan Sarawak dan pertimbangan Yang di-Pertuan Agong yang akan menentukannya,” katanya.

Abdul Karim turut mengesahkan Abdul Taib yang sebelum ini berada di Istanbul, Turkeye, kembali ke Sarawak, malam tadi.

“Saya yang menyambut beliau di lapangan terbang dan saya nampak keadaannya (kesihatan) bertambah baik berbanding sebelum ini. Saya gembira melihat perkembangan terkini beliau sekembalinya dari luar negara,” katanya.

Semalam, portal The Malaysian Insight melaporkan Wan Junaidi, 78, meletak jawatan sebagai Speaker Dewan Negara.

Peletakan jawatan itu dikatakan kerana bekas Ahli Parlimen Santubong dan Ahli Parlimen Batang Lupar itu sedang bersiap-sedia untuk menyandang jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

(Foto UKAS)

Related posts

Leave a Comment