SEREMBAN 4 Jan. – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menyifatkan Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor, sebagai pemimpin tidak bertanggungjawab susulan ada usaha untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan.
Katanya, Muhammad Sanusi sepatutnya memberi fokus kepada usaha memajukan negeri Kedah selepas diberikan mandat menerajui negeri itu.
Menteri Pengangkutan itu berkata, Menteri Besar Kedah itu sepatutnya fokus kepada memajukan Kedah kerana sudah diberikan mandat untuk menjadi menteri besar dan sepatutnya memberi tumpuan bekerja sebagai menteri besar.
“Bukannya ambil Langkah Chow Kit, Langkah Alor Setar dan sebagainya. Itu orang yang tidak bertanggungjawab, orang yang bercakap secara terus terang tentang langkah ini dan itu, tumbangkan kerajaan adalah orang yang tidak bertanggungjawab.
Sebagai menteri besar dan orang politik sepatutnya kita fokus kepada kerja kita. Bagi saya sebagai Menteri Pengangkutan hanya satu langkah iaitu Langkah Pendigitalan.
“Apapun saya percaya mereka (pembangkang) akan terus mainkan isu (pertukaran kerajaan) kerana mereka tak ada kerja lain,” katanya selepas Majlis Penyerahan Peruntukan Menteri Pengangkutan di Dewan Yayasan ECM Libra, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Paul di sini, hari ini.
Loke yang juga Ahli Parlimen Seremban diminta mengulas kenyataan Muhammad Sanusi semalam, mengesahkan wujud rancangan di pihak Perikatan Nasional (PN) untuk menumbangkan Kerajaan Persekutuan menerusi proses demokrasi berdasarkan Perlembagaan Persekutuan.
Muhammad Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PN dipetik berkata, langkah itu dirangka berdasarkan kelompongan Akta Antilompat Parti yang digunakan kerajaan MADANI untuk menarik sokongan lima Ahli Parlimen PN.
“Kelompongan dalam Akta Antilompat Parti yang dimanfaatkan Kerajaan Perpaduan akan digunakan PN yang mahu mengambil langkah sama.
“Jadi itu proses biasa dalam demokrasi, dibenarkan Perlembagaan. Saya rasa itu lompong dalam Akta Antilompat Parti, yang menunjukkan jalan lompong itu adalah mereka, jadi kita lalu sahaja,” kata Muhammad Sanusi.
Dalam pada itu Loke berkata MOT sedang memberi fokus kepada utama pendigitalan dalam usaha memperkasakan lagi sistem penyampaian kerajaan.
“Fokus sekarang ialah pendigitalan, kita hendak perkasakan JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan) cukai jalan atas talian, kemaskinikan butiran dan maklumat rakyat melalui PADU (Pangkalan Data Utama).
“Jika kita berjaya mendigitalkan negara ini, negara akan berkembang dengan lebih maju sebab ada sistem yang bersepadu, maka sebarang dasar kerajaan itu dapat dilaksanakan dengan lebih baik serta lancar,” katanya.
Mengenai isu Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengeluarkan kenyataan membabitkan Jawatankuasa Khas Mengkaji Bidang Tugas Mahkamah Syariah, Loke berkata tindakan telah diambil.
Katanya, Ngeh telah memohon maaf secara terbuka di atas kesilapannya itu dan beliau sendiri sebenarnya tidak mengetahui latar belakang pembentukan jawatankuasa berkenaan.
“Kita sudah ambil tindakan sepatutnya, jadi kita tahu pihak lawan memang akan mempolitikkan isu ini, sebab mereka tak ada modal lain selain 3R. Dia (PN) hendak gunakan isu ini untuk menyerang kerajaan, kononnya kerajaan ini didominasi DAP dan sebagainya,” katanya.
