CAPE TOWN – Afrika Selatan akan menggunakan semua saluran bagi memastikan Israel mematuhi sepenuhnya perintah Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung kes genosid yang difailkan Pretoria pada 2023,
Berikutan kegagalan Israel mematuhi perintah itu, Afrika Selatan mengemukakan dokumen komprehensif kepada ICJ.
Jabatan Hubungan Antarabangsa dan Kerjasama Afrika Selatan dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya memaklumkan dokumen itu dikemukakan di bawah Artikel 11 Resolusi mahkamah berhubung amalan kehakiman dalamannya.
Menurut kenyataan itu, langkah sementara berkenaan bertujuan melindungi hak rakyat Palestin di bawah Konvensyen Genosid dan mencegah kemudaratan yang tidak dapat dipulihkan terhadap hak berkenaan sebelum mahkamah mengeluarkan penghakiman muktamad.
Afrika Selatan memfailkan kes terhadap Israel di ICJ pada 29 Disember 2023 dengan menuduhnya melanggar Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1948 mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.
Mahkamah mengeluarkan tiga perintah langkah sementara pada Januari, Mac dan Mei 2024, yang mengarahkan Israel mengambil semua langkah perlu untuk mencegah perbuatan yang dilarang di bawah Konvensyen Genosid.
Menurut jabatan itu langkah sementara yang diperintahkan ICJ mengikat di sisi undang-undang dan Israel “tidak mematuhi perintah berkenaan.”
Kenyataan jabatan itu, menegaskan rakyat Palestin yang terselamat di Semenanjung Gaza terus mengalami trauma dan dipaksa hidup dalam keadaan kemanusiaan yang teruk di kawasan yang semakin mengecil.
Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan serangan genosid Israel di Semenanjung Gaza telah mengorbankan 73,438 rakyat Palestin dan mencederakan 174,447 yang lain sejak 7 Okt 2023.
Nnnn
