LFL juga gesa tangguh PADU

KUALA LUMPUR 4 Jan. –  Kerajaan digesa menangguhkan pelaksanaan Pangkalan Data Utama (PADU) sehingga pindaan dibuat ke atas Akta Perlindungan Data Peribadi (APDP) 2010.

Pengarah Lawyers for Liberty (LFL) Zaid Malek, berkata pelaksanaan PADU sebelum pindaan dibuat ke atas akta itu akan mendedahkan orang awam kepada bahaya pelanggaran data, kebocoran dan penipuan.

Katanya, ketika ini Seksyen 3(1) APDP mengecualikan kerajaan daripada penguatkuasaannya dan ini bermakna data yang dikumpul PADU boleh disebarkan atau digunakan oleh kerajaan di luar tujuan yang diisytiharkan sebagai subsidi bersasar.

“Terdapat kes penyalahgunaan data oleh kerajaan sebelum ini, apabila data peribadi digunakan untuk menyebarkan propaganda menerusi SMS kepada orang awam.

Tindakan menggunakan data yang dikumpul bagi sebarang tujuan politik akan menghilangkan kepercayaan rakyat,” katanya dalam kenyataan, seperti dilaporkan BH hari ini.

Terdahulu, bekas Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dr Ong Kian Ming, menggesa kerajaan menangguhkan proses pendaftaran sistem PADU sehingga beberapa kecacatan keselamatan diperbetulkan.

Beliau dalam kenyataan semalam mendakwa, langkah itu perlu kerana wujud kecacatan dalam sistem pendaftaran PADU, termasuk menghendaki pengguna mengisi maklumat sama yang sudah ada dalam pangkalan data sistem itu.

Zaid berkata, memandangkan data dikumpul akan dipusatkan pada satu platform, jadi isu keselamatan data harus menjadi keutamaan.

Katanya, kerajaan mempunyai rekod buruk perlindungan data, apabila terdapat banyak laporan membabitkan kecurian data daripada pelbagai agensi yang mendedahkan pengguna kepada scam dan penipuan data tanpa sebarang penyelesaian undang-undang kerana kerajaan dikecualikan daripada liabiliti di bawah APDP.

“Sehubungan itu, tidak cukup sekadar memberi jaminan mulut bahawa data dikumpul di bawah PADU tidak disalahgunakan atau akan dilindungi.

“Pindaan ke atas APDP yang meletakkan tanggungjawab dan liabiliti ke atas kerajaan termasuk agensi yang bertanggungjawab bagi perlindungan dan keselamatan bagi data yang dikumpul, perlu dilaksanakan segera,” katanya.

Selain itu, Zaid berkata, perlu ada sistem untuk aduan awam sekiranya berlaku pelanggaran data bagi membolehkan pengguna yang terkesan dimaklumkan mengenai pelanggaran itu dan tindakan sewajarnya diambil ke atas pihak bertanggungjawab.

Katanya, tanpa pindaan dibuat sebelum pelancaran PADU, orang ramai tidak yakin data mereka akan dilindungi daripada penyalahgunaan sama ada oleh kerajaan, scammer atau individu tidak bertanggungjawab yang menyasarkan pangkalan data yang besar.

“Jenayah seperti ini sedang dilakukan secara meluas. Adalah pelik apabila kerajaan meneruskan usaha ini tanpa melakukan pindaan undang-undang kerana ini sama seperti ‘mendahulukan kuda sebelum pedati’,” katanya.

Related posts

Leave a Comment