UMNO sedang dijadikan korban?

SEPANG 30 Ogos – Ketua Penerangan Pejuang, Muhammad Rafique Rashid Ali mendakwa perkembangan semasa pertuduhan demi pertuduhan memberi gambaran bahawa kerajaan sedang membeli masa untuk pilihan raya yang ditangguhkan waktunya.

Katanya, kerajaan kononnya mahu menunjukkan bahawa reformasi sedang berjalan, tegas melawan rasuah, semua perkara lama sedang diperbetulkan.

“Tetapi reformasi bukan sekadar mengeluarkan laporan lama ketika pilihan raya semakin dekat. Reformasi bermaksud pendakwaan tidak memilih kawan atau lawan.

Reformasi bermaksud institusi penguatkuasaan bertindak berdasarkan bukti dan undang-undang, bukan berdasarkan siapa yang sedang diperlukan atau tidak diperlukan oleh kerajaan,” katanya dalam kenyataan bertajuk politik pekasam dan topeng kuasa.

Beliau berkata, Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah menggunakan kerjasama dengan UMNO untuk membina dan mempertahankan kerajaannya.

“Siapa lupa 47 DNAA? Sekarang, apabila kedudukan politik semakin tercabar, rakyat berhak bertanya sama ada UMNO sedang dijadikan korban untuk memberikan nafas baharu kepada imej reformasi beliau” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, ini bukan pembelaan terhadap mana-mana individu yang mungkin melakukan kesalahan tetapi tuntutan supaya proses keadilan itu sendiri tidak diperalatkan.

“Siasatlah semua. Dakwalah sesiapa yang terdapat bukti terhadapnya. Tetapi jangan simpan sesuatu selama bertahun-tahun ketika ia menguntungkan kerajaan, kemudian keluarkannya pada saat ia paling berguna dari segi politik.

Kerana akhirnya persoalan daripada rakyat bukan hanya, Siapakah yang bersalah dalam pengurusan Tabung Haji?, Siapakah yang menerima rasuah untuk projek tertentu?

Persoalan yang rakyat bijak akan tanyakan ialah: Mengapa kerajaan memilih untuk bertindak sekarang dan siapakah yang mendapat keuntungan politik daripada pertuduhan yang dikenakan?,” katanya.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment