Pas kecam serangan di Iran

KUALA LUMPUR 4 Jan. – Pas mengecam serangan yang telah membunuh lebih 100 nyawa dan mencederakan lebih 200 orang awam lain dalam tragedi pengeboman di bandar Kerman, di tenggara Iran semalam.

Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, dunia Islam wajar mengutuk dalang di sebalik serangan ini, kerana telah mengorbankan rakyat awam dan bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

“Pas mengucapkan takziah kepada kerajaan Iran dan rakyat yang terlibat dalam tragedi ini. Semoga Allah mencucuri rahmat ke atas mereka yang terkorban dan diberikan kesembuhan bagi mereka yang tercedera,” katanya dalam satu kenyataan.

Dilaporkan 84 orang disahkan terkorban, manakala 284 lagi cedera dalam pengeboman berkembar di bandar Kerman di tenggara Iran pada Rabu, kata pegawai pada Khamis.

Menurut laporan media, Menteri Dalam Negeri, Ahmad Vahidi semasa melawat lokasi kejadian, berkata berdasarkan penilaian forensik seramai 84 orang disahkan terkorban setakat ini.

Daripada 284 yang dilaporkan cedera, ramai mangsa dalam keadaan kritikal dan jumlah kematian mungkin meningkat.

Sekurang-kurangnya dua letupan kuat berlaku berdekatan dengan kawasan perkuburan ketika ribuan orang memperingati ulang tahun keempat kematian bekas komander tertinggi tentera Iran, Jeneral Qassem Soleimani yang terbunuh dalam serangan dron Amerika Syarikat di Baghdad pada Januari 2020.

Punca letupan masih disiasat dan tiada kumpulan setakat ini mengaku bertanggungjawab atas serangan itu.

Presiden Ebrahim Raisi dilaporkan berkata kejadian itu dilakukan oleh mereka yang ‘pengecut’ dan pihak berkuasa akan memastikan pelakunya dikenal pasti dan dibawa kemuka pengadilan.

Nnn

Related posts

Leave a Comment