KUALA LUMPUR 4 Jan. – Polis Bukit Aman mengesahkan menyiasat dua individu yang mengeluarkan kenyataan sensitif dan campur tangan dalam isu membabitkan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Shuhaily Mohd Zain, dalam satu kenyataan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah membuka dua kertas siasatan berhubung kes itu.
Menurutnya, kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/undang-undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman mengikut Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 Dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
“Kes masih di peringkat siasatan dan PDRM menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu proses siasatan.
PDRM turut mengingatkan orang ramai agar cakna dan prihatin terhadap isu-isu sensitif terutama membabitkan kegentaran awam dan keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kenyataan itu bagaimanapun tidak mendedahkan individu yang disiasat tetapi pada 30 Disember lalu, Ahli Parlimen Beruas, Ngeh Koo Ham dilaporkan memohon maaf selepas mencadangkan agar pakar perlembagaan daripada kalangan bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.
Ahli Parlimen DAP itu berkata beliau tidak berniat masuk campur dalam hal ehwal agama Islam dengan membuat cadangan itu yang kemudian ditarik balik.
Beliau mendakwa tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas itu sebenarnya dibentuk oleh MKI yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi MKI bertitah mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam supaya menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.
Susulan kenyataan Koo Ham itu, beberapa NGO dan parti politik termasuk Putra dan Pas membuat laporan polis dan menggesa pihak berkuasa membuka kertas siasatan.
Nnnn
