Kes harian turun, kematian tertinggi

PUTRAJAYA 18 Julai – Angka 10 akhirnya mengisi slot 10,000 kes jangkitan Covid-19 selepas angka 9 yang mewakili 9,000 kes sebelum ini melangkaui ke angka 11 dalam catatan jumlah kes harian Covid-19.

Ketika jumlah kes harian mencecah 9,105 pada 11 Julai, ramai yang menjangka angka itu akan meningkat kepada 10,000 pada hari berikutnya tetapi tanggapan itu meleset apabila kes turun kepada 8,574.

Bagaimanapun pada 13 Julai, angka itu melonjak kepada 11,079 kes, meninggalkan angka 10. Begitulah perjalanan kes Covid-19 di negara ini.

Hari ini, 10,710 kes direkodkan, berbanding semalam 12,528 kes, yang bermakna terdapat penurunan kes jangkitan harian.

Bagaimanapun jumlah kematian pula meningkat, tertinggi iaitu 153 kes berbanding 153 yang direkodkan semalam.

Jumlah kematian hari ini menjadikan keseluruhan pesakit yang maut akibat virus itu ialah 7,019 kes.

Sebanyak 82 kematian direkodkan di Selangor, 17 kes di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 14 di Negeri Sembilan, 10 di Johor,  lapan di Kedah, enam  di Pahang, lima  di Melaka, masing-masing dua  di Sabah, Pulau Pinang, dan Wilayah Persekutuan Putrajaya serta masing-masing satu di Terengganu, Sarawak, Kelantan, Perak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Daripada 10,710 kes baharu yang direkodkan hari ini , sebanyak 10,698 membabitkan jangkitan tempatan dan baki 12 kes import.

Sebanyak 5,778 kes sembuh baharu direkodkan hari ini menjadikan keseluruhan jumlah kes sembuh sebanyak 784,949.

Jumlah kes aktif pula adalah 124,593 dengan 909 kes berada di unit rawatan rapi (ICU) dan 445 memerlukan bantuan alat pernafasan.

Jika mengikut kategori, daripada 10,710 kes yang dilaporkan hari ini, sebanyak 95 kes (0.9 peratus) adalah daripada  kategori 5 (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan), 45 kes (0.4 peratus) kategori 4 (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen), 91 kes (0.9 peratus) kategori 3 (radang paru-paru), 4,162 kes (38.9 peratus) kategori 2 (bergejala ringan) dan 6,317 kes (59.0 peratus) kategori 1 (tidak bergejala).

Secara keseluruhannya, hanya 2.1 peratus kes yang dilaporkan hari ini berada pada kategori 3, 4 dan 5.

Meskipun peratusan kes kategori  3 hingga kategori 5 tidak tinggi, namun harus diambil perhatian bahawa:

  • Kes kategori 5 – memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 21 hari;
  • Kes kategori 4 – memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari; dan
  • Kes kategori 3 – memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama bagi yang berisiko tinggi.

Tempoh masa yang lama diperlukan bagi kes-kes ini untuk diberi jagaan di wad dan ICU, mengakibatkan kapasiti katil yang sememangnya terhad menjadi semakin penuh dan sesak.

Ini secara tidak langsung akan terus membebankan sistem kesihatan terutamanya di ICU, hospital, dan Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC).

Related posts

Leave a Comment