Amanah bina kekuatan baharu hadapi PRU16

BANG Mat @ Mohamad Sabu tidak menjadi pilihan No.1 pada pemilihan Jawatankuasa Pimpinan Amanah baru-baru ini. Beliau menduduki nombor lapan. Bagaimanapun melalui musyawarah Bang Mat tetap diangkat sebagai Presiden.

Kedudukan Bang Mat sama seperti bekas Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang juga menduduki tangga ke-8 semasa pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP (CEC) 2022-2025. Guan Eng kemudiannya dilantik sebagai Pengerusi DAP.

Sistem diguna pakai Amanah dan DAP tidak menjamin mereka yang menerima undi tertinggi daripada perwakilan akan memikul jawatan utama.

Sudah tentu dalam kalangan jawatankuasa yang terpilih, mereka mempunyai pandangan mengenai siapa yang boleh ke hadapan memikul tanggungjawab parti lebih-lebih lagi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) berikutnya.

Bagi Amanah, Mat Sabu diberi tanggungjawab memenuhi penggal ketiga dan terakhir bagi seseorang Presiden. Jika semua dalam keadaan baik, Amanah akan melalui satu peralihan kepemimpinan yang harmoni pada pemilihan akan datang.

Justeru pada masa yang sama, peranan orang No. 2 amat penting bagi memimpin parti memasuki PRU yang dijadualkan sama ada 2027 atau 2028.

“PRU empat tahun lagi bukan lama, kita kena buat persediaan. Pada waktu itu, presiden kita orang lain bukan Bang Mat lagi,” katanya ketika menyampaikan ucapan selepas pengumuman ‘Top 5’ Amanah baru-baru ini.

Berikutan kematian Salahuddin Ayub, tanggungjawab sebagai pemimpin No. 2 parti kini di bahu Mujahid Yusof yang memperoleh undi keempat tertinggi dalam kalangan 27 anggota yang dipilih oleh 1,003 perwakilan.

Pemilihan Mujahid mungkin dianggap tepat kerana kesungguhan beliau sebelum itu yang menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab lebih besar berbanding sebelum ini sebagai salah seorang Naib Presiden.

Mujahid sebelum ini turut berkongsi misinya untuk mengubah persepsi terhadap parti berusia lapan tahun itu supaya tidak lagi dilihat sebagai pendatang baharu dalam gabungan politik.

“Misi saya ialah Amanah tak lagi dilihat sebagai ‘new kids on the block’ (pendatang baharu) dalam gabungan kerjasama politik, tetapi perlu diiktiraf, dihormati dengan idea gagasan besar untuk memastikan dasar kerajaan diterima seperti konsep ‘rahmatan lil alamin’,” katanya.

Walaupun Mujahid tewas pada PRU lalu, beliau diberi jawatan Ahli Dewan Negara (Senator) yang secara tidak langsung masih berperanan sebagai Ahli Yang Berhormat dan berpeluang menganggotai Kabinet.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama) ketika era pentadbiran Dr Mahathir Mohamad di bawah Pakatan Harapan (PH) itu berjanji untuk bekerjasama dengan Presiden demi memastikan parti terus dihormati oleh rakan dan lawan.

Mujahid berkata, pemilihan yang berlaku merupakan satu proses untuk memberi kekuatan kepada parti secara dalaman dan luaran.

Setakat ini walaupun pemimpin No 2 itu tidak ada peranan dalam kerajaan, beliau bertanggungjawab untuk membantu Presiden bagi mengukuhkan pentadbiran parti dan berusaha untuk menarik sokongan pengundi-pengundi Melayu.

Mujahid serta pasukannya perlu bekerja keras untuk melawan apa yang didakwa tuduhan dan naratif bahawa Islam terancam dan hak Melayu tergadai yang juga dikatakan punca kekalahan calon-calon Amanah dan UMNO.

Amanah mempunyai dua Menteri dan dua Timbalan Menteri yang mampu mendekatkan parti dengan masyarakat. Dua portfolio untuk Amanah itu nyata memudahkan pimpinan parti bersama masyarakat sama ada di bandar atau di luar bandar.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dan Kementerian Kesihatan (KKM) menjadi tumpuan masyarakat. Jika masing-masing berjaya mengemudi portfolio itu dengan baik, rakyat akan menghargai mereka.

Lebih-lebih lagi, di bawah KPKM, ada beberapa agensi diterajui pemimpin Amanah iaitu bekas Ahli Parlimen Pokok Sena,  Mahfuz Omar sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir Muhammad Faiz Fadzil sebagai Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan bekas ADUN Behrang Aminuddin Zulkipli sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Ahli Parlimen Hulu Langat Mohd Sany Hamzan pula sebagai Timbalan Pengerusi TEKUN Nasional manakala bekas penyandang kerusi itu, Hasanuddin Mohd Yunus sebagai Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Inilah kelebihan Amanah dalam mendekati masyarakat supaya mereka yang di peringkat akar umbi lebih mengenali parti itu.

Amanah sudah tentu mengambil kesempatan ini untuk mengembangkan pengaruhnya dalam usaha menembusi kubu kuat pengundi Melayu. Persoalannya sejauh mana orang Melayu dapat menerima Amanah?

Jika dulu Amanah diberi pelbagai label kerana hubungan dengan DAP, bagaimana pula apabila UMNO turut bersama DAP? Bang Mat pula secara terbuka mahu melihat UMNO kuat semula.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment