WASHINGTON – Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) Scott Bessent memberi amaran akan mengenakan sekatan terhadap pembeli minyak Iran termasuk bank China yang mengendalikan bayaran.
“Kami sudah beritahu negara-negara: jika anda beli minyak Iran atau menyimpan wang Iran di bank anda, kami bersedia mengenakan sekatan tambahan,” kata Bessent, kepada wartawan di Rumah Putih.
AS juga percaya China yang sebelum ini membeli lebih 80 peratus minyak Iran yang dieksport akan menghentikan sementara pembelian itu ketika Washington menguatkuasakan sekatan maritim ke atas Iran.
“Kami percaya sekatan ini akan menyebabkan China menghentikan sementara pembelian.
Perbendaharaan AS juga telah menulis kepada dua bank China dan ‘memberitahu mereka bahawa jika kami dapat membuktikan terdapat aliran wang Iran melalui akaun mereka, maka kami bersedia untuk mengenakan sekatan sekunder,” katanya.
Pentadbiran Donald Trump sejak sekian lama menyatakan ia melaksanakan ‘tekanan maksimum’ ke atas Iran berhubung program nuklearnya dan sokongan terhadap kumpulan pejuang di seluruh Asia Barat, walaupun minyak yang dikenakan sekatan masih terus sampai ke China.
Jabatan Perbendaharaan AS turut menyasarkan infrastruktur pengangkutan minyak Iran dengan mengenakan sekatan terhadap lebih 24 individu, syarikat dan kapal, semalam.
Langkah itu dibuat beberapa minggu selepas Washington mengeluarkan pengecualian sekatan selama 30 hari ke atas minyak Iran di laut.
Bulan lalu, menurut Bessent, pengecualian itu membolehkan kira-kira 140 juta tong sampai ke pasaran global dalam usaha meredakan tekanan terhadap bekalan tenaga dunia akibat perang.
Bessent mengesahkan semalam pengecualian itu yang dikeluarkan pada 20 Mac dan dijadual tamat 19 April, tidak akan diperbaharui seperti dilaporkan.
AS juga tidak memperbaharui pengecualian terhadap minyak Russia di laut, yang tamat pada Sabtu.
