Kenapa BN gelisah MB calon PRK Kemaman

NAMPAKNYA Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO cukup ‘terasa’ dengan tindakan Pas mencalonkan Menteri Besar (MB) Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar sebagai calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman.

Di sebalik keyakinan terhadap ‘panglima’ yang dicalonkan BN, Jeneral (B) Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, jangan pula ada suara umpama harimau mengaum tak dapat menangkap iaitu “Orang yang terlalu marah biasanya tidak sampai memukul”.

Tidak hairanlah Dr Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden Pas itu mengingatkan pemimpin BN supaya tidak terlalu ‘ssettok’ dengan pemilihan beliau sebagai calon pada PRK yang akan berlangsung pada 2 Disember depan.

Difahamkan ssettok dalam dialek Terengganu dan Kelantan membawa maksud terkejut atau terkesan.

Saya tidak pasti sama ada ssettok selain terkejut, boleh disamakan dengan gelabah, kalut, cemas atau kelam kabut tetapi kata Menteri Besar Terengganu itu pemilihannya menimbulkan perasaan tidak tenteram dalam kalangan pimpinan BN.

“Keadaan tidak tenteram itulah yang menyebabkan ada pemimpin parti mencadangkan saya meletak jawatan sebagai Menteri Besar,” katanya baru-baru ini merujuk kenyataan Ketua Penerangan UMNO Azalina Othman Said.

Azalina yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri dilaporkan mencabar Dr Ahmad Samsuri meletak jawatan sebagai Menteri Besar (MB) Terengganu untuk fokus kepada PRK Kemaman.

“Kalau betul dia yakin (menang), saya nak cabar dia hari ini letak jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu…fokus kepada Parlimen Kemaman (dan) lawan satu dengan satu (baru) adil.

“Sebab kita rasa, kita kuat tapi dia nak bertanding atas tiket sebagai Menteri Besar sebab bila kalah (masih) boleh jadi Menteri Besar. Maknanya dia tak amanah, ikhlas pada pengundi Kemaman,” kata Azalina ketika membuat andaian.

Turut terkesan apabila Presiden UMNO, Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Terengganu memerlukan pemimpin yang fokus untuk membantu mengangkat taraf ekonomi tempatan dan memikirkan kelangsungan pembangunan negeri bukan pemimpin yang menyimpan hasrat hati untuk ‘menambah jawatan lagi’.

Dan Pengerusi UMNO negeri, Ahmad Said yang pernah menjadi calon di Kemaman pula berkata Dr Ahmad Samsuri tidak patut bertanding malahan menyifatkannya sebagai tamak kerana mahu memikul dua tugas besar dalam satu masa.

“Tugas Menteri Besar amat berat dan sukar untuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu memberikan tumpuan sebagai Ahli Parlimen,” katanya.

Mungkin itu andaian Ahmad sedangkan seperti diketahui bukan seorang dua yang berpengalaman menjadi Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk yang berjawatan MB atau Ketua Menteri (KM).

Begitulah gelabahnya pemimpin yang nampak yakin dengan panglima mereka tetapi pada masa yang sama seperti rupa harimau, hati tikus iaitu “Rupa sahaja yang hebat dan tampak garang tetapi sebenarnya pengecut”.

Jika sama-sama yakin untuk menang, jadikan PRK ini sebagai gelanggang harimau dua sekandang, iaitu “Dua pihak bersaing yang pasti akan bertanding satu sama lain,”. Tidak perlu mencipta pelbagai persepsi mengenai calon.

Seperti ditulis minggu lalu, pencalonan MB atau KM bukanlah sesuatu yang luar biasa kerana sekutu UMNO atau BN ketika ini DAP dan PKR menjadi teladan kepada isu dua jawatan ini.

Chow Kon Yeow (DAP) adalah KM Pulau Pinang juga Ahli Parlimen Batu Kawan; Aminuddin Harun (PKR) MB Negeri Sembilan juga Ahli Parlimen Port Dickson dan Amirudin Shari (PKR) MB Selangor juga Ahli Parlimen Gombak.

Sebelum ini Lim Guan Eng juga adalah KM Pulau Pinang tetapi pada masa yang sama sebagai Ahli Parlimen Bagan. Kon Yeow pula bukanlah kali pertama sebagai Ahli Parlimen dan ADUN. Begitu juga Amirudin. Apakah label yang boleh diberi terhadap mereka ini? Tamak?

Selak tidak bermaksud menyebelahi mana-mana pihak tetapi berpolitiklah secara matang. Biarlah sesiapa sahaja yang layak menawarkan diri, tidak perlu memberi hujah kebudak-budakan.

Jadilah harimau terluka yang bersedia dan berani bertarung di gelanggang yang sama.

Hakikatnya ramai lagi yang bertanding dua kerusi iaitu Parlimen dan DUN walaupun mereka bukanlah MB atau KM. Adakah mereka juga layak dilabel tamak dan mahu menambah jawatan dan perlu meletak jawatan salah satu daripadanya?

Di Negeri Sembilan, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menang di Parlimen Seremban tetapi kemudiannya bertanding pula di DUN Chennah.

Begitu juga Timbalan Presiden UMNO Tok Mat @ Mohamad Hassan menang di Rembau bertanding di DUN Rantau. MB, Aminuddin menang di Port Dickson dan bertanding di DUN Sikamat serta Jalaluddin Alias di Jelebu dan DUN Pertang.

Adakah mereka ini tergolong sebagai orang tamak dan mahu tambah jawatan?

Related posts

Leave a Comment