Pelarian Rohingya makin meningkat di Acheh

LHOKSEUMAWE: Jumlah ketibaan pelarian Rohingya di Acheh meningkat kepada lebih 1,000 orang dalam tempoh seminggu lalu susulan kira-kira 200 lagi  tiba di wilayah paling barat Indonesia melalui laut semalam.

Menurut agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Selasa, bot yang membawa lelaki, wanita dan kanak-kanak itu mendarat di bandar kecil Sabang di Aceh, hujung utara Sumatera kira-kira jam 11 malam waktu tempatan.

Menurut laporan media, anggota masyarakat setempat berkata jumlah sebenar pelarian Rohingya yang mendarat kali ini mungkin mencecah 360 orang.

Penduduk tempatan di Aceh minggu lalu menolak beberapa ketibaan bot pelarian Rohingya, mengatakan mereka tidak mempunyai sumber lagi untuk menerima pelarian, yang kebanyakannya sudah berminggu-minggu berada di laut.

Dengan ketibaan terbaru itu, hampir 1,100 pelarian mendarat di Aceh pada minggu lalu sahaja, selepas lebih 800 pelarian mendarat dengan lima bot sebelum ini, menurut pegawai tempatan.

Suruhanjaya Tinggi PBB untuk Pelarian (UNHCR) menganggarkan lebih 2,000 Rohingya meredah perjalanan berisiko ke negara Asia Tenggara yang lain pada tahun 2022.

Difahamkan, ramai penduduk Aceh yang melalui konflik berdarah selama beberapa dekad sememangnya bersimpati dengan nasib saudara sesama Islam mereka dari Myanmar.

Bagaimanapun, ada yang mengatakan kesabaran mereka telah diuji, mendakwa Rohingya menggunakan sumber yang terhad dan kadang-kadang mencetuskan konflik dengan penduduk tempatan dan tidak menghormati budaya tempatan.

Indonesia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian PBB dan berkata ia tidak boleh dipaksa untuk menerima pelarian dari Myanmar itu, dan berkata kebanyakan negara jiran menutup pintu mereka kepada etnik Rohingya.

Related posts

Leave a Comment