Letak jawatan Menteri Kewangan, arah Zahid cuti

KUALA LUMPUR 30 Jan. – Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyarankan Anwar Ibrahim meletak jawatan sebagai Menteri Kewangan dan menumpukan perhatian kepada tugas sebagai Perdana Menteri.

Katanya, masih belum terlambat untuk memperbaiki keadaan dan Anwar tidak sepatutnya mengulangi kesilapan seperti skandal 1MDB apabila Perdana Menteri ketika itu, Najib Razak, adalah juga Menteri Kewangan.

Muhyiddin juga mencadangkan supaya Anwar mengarahkan Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi mengambil cuti sehingga kesnya selesai.

“Malulah rakyat Malaysia jika beliau ke luar negara bertemu pemimpin dunia atas tugasan rasmi sebagai Timbalan Perdana Menteri sedangkan kesnya masih dibicarakan. Apa agaknya tajuk berita di negara yang dilawatinya,” katanya.

Bekas Perdana Menteri itu dalam satu kenyataan media malam ini berkata, Anwar juga perlu menasihatkan Nurul Izzah supaya meletak jawatan sebagai Penasihat Perdana Menteri.

Katanya, tidak pernah berlaku dalam sejarah Malaysia seorang Perdana Menteri melantik anak sebagai penasihat yang akhirnya menjadikan slogan Reformasi yang dilaungkan oleh Anwar sejak lebih 20 tahun lalu sebagai omongan kosong.

Beliau percaya, Nurul Izzah seorang pemimpin wanita muda yang berbakat dan berpotensi besar.

“Janganlah pelantikan kecil yang tidak kena pada tempatnya menjadi titik hitam dalam perjalanan politiknya menuju masa hadapan yang mungkin lebih cerah,” katanya.

Muhyiddin juga menyifatkan Kerajaan PH-BN pimpinan Anwar tidak bermula dengan langkah yang betul sejak dari awal lagi.

Katanya, janji tatakelola yang baik telah dikhianati apabila Anwar melantik Ahmad Zahid Hamidi yang sedang berhadapan dengan tuduhan jenayah di mahkamah sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Ini dilakukan semata-mata kerana membalas “budi” Zahid yang berjaya memaksa ahli-ahli Parlimen BN memberi sokongan kepada Anwar sebagai Perdana Menteri.

“Segala janji pilihan raya mengenai prinsip integriti ditolak ke tepi. Yang ada hanyalah sebuah transaksi politik yang berlandaskan amalan “you scratch my back, I scratch your back”,” katanya.

Berdasarkan beberapa keputusan yang dibuat, Muhyiddin berkata, tidak sampai 100 hari memerintah, Anwar telah mengkhianati semangat perjuangan Reformasi yang didokong oleh penyokong-penyokongnya sendiri.

“Sebagai pemimpin parti pembangkang saya boleh saja mengambil kesempatan daripada kesilapan demi kesilapan yang dilakukan oleh Anwar dan kerajaannya. Tetapi sebagai rakyat biasa, saya tidak rela melihat maruah negara tercalar kerana keterlanjuran Perdana Menteri,” katanya.

Related posts

Leave a Comment