Gelombang PH landa Johor, bukan PN

ADA pandangan berbeza berhubung ‘sokongan ahli UMNO’ kepada calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai. Ini berikutan sekurang-kurangnya 11 kain rentang mengenai cawangan UMNO menolak calon PH.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Ahmad Maslan, berkata tiada isu cawangan UMNO Bahagian Pulai menolak calon terbabit malahan ia dianggap propaganda ‘orang luar’ untuk memecah-belahkan perpaduan BN dan PH.

Bagaimanapun Ketua UMNO bahagian Pulai, Nur Jazlan Mohamed mempunyai pandangan sebaliknya apabila beliau yang juga Ahli MKT itu akan menyelesaikan isu penolakan calon PH-BN oleh cawangan-cawangan UMNO dalam bahagian itu.

Dalam tempoh tidak sampai dua minggu menjelang 9 September, Nur Jazlan akan bertemu ketua-ketua cawangan bahagian itu untuk memujuk mereka yang tidak mahu menyokong calon PH-BN, Suhaizan Kaiat, pada PRK Parlimen Pulai.

Nur Jazlan tentu lebih tahu apa yang berlaku di bahagiannya dan tidak dinafikan sebagai negeri yang pernah digelar ‘tiang seri UMNO’, sudah tentu ahli UMNO di bahagian itu ‘kekok’ untuk menyokong calon di luar UMNO atau BN.

Apatah lagi jika difikirkan kerjasama dengan PH itu melibatkan juga DAP dan PKR. Semua orang tahu pendirian awal pimpinan parti di negeri kelahiran UMNO itu. Apa pun politik mengubah segala-galanya. Cuma yang keliru, pengikut dan penyokong.

Adakah tanpa sokongan penyokong UMNO, peluang PH – Amanah tergugat?

Di atas kertas, PH tidak menghadapi masalah kecuali seperti kata Nur Jazlan, kedudukan tergugat jika masyarakat Cina tidak keluar mengundi 9 September ini. Ini kerana kemenangan Allahyarham Salahuddin Ayub adalah berdasarkan undi Cina.

Justeru andai penyokong UMNO atau BN tidak keluar mengundi, PH masih berpeluang untuk menang. Itu andaian berdasarkan keputusan PRU lalu.

Pada PRU November tahun lalu, Salahuddin memperoleh 64,900 undi, Nur Jazlan (BN) memperoleh 31,726 manakala calon PN meraih 20,667 undi. Majoriti undi adalah 33,174. Jika dicampur undi PH-BN, maka jumlahnya 96,626.

Adakah majoriti PRU15 dapat dipertahankan atau jumlah undi diperoleh PH boleh mencecah sehingga 96,000 undi?

Atau ia akan berlaku sebaliknya setelah PH-BN bersama membentuk kerajaan sedangkan sembilan bulan lalu mereka ‘berperang habis-habisan’ di pentas politik ketika kempen Pilihan Raya Umum (PRU). Hanya bulan ini mereka di pentas sama.

Mungkin di pihak PH tidak berdepan masalah kerana kesetiaan pengundi Cina terhadap DAP khususnya tidak boleh disangkal lagi. Faktor ini yang mendorong Nur Jazlan tidak berhasrat bertanding pada PRU lalu.

Ketika menjawab persoalan kenapa beliau tidak mahu bertanding lagi, Nur Jazlan berkata : Dengan pola dan peratusan pengundi cukup rendah dan tiada perubahan sokongan pengundi Cina kepada calon Melayu dan BN, saya tahu saya akan kalah,”.

Akhirnya Nur Jazlan bertanding untuk kalah! Sebelum itu pada PRU14 2018, beliau memperoleh 26,523 undi berbanding Salahuddin 55,447, Pas 4,332 dan Bebas 591. Majoriti yang dimenangi adalah 28,924 undi.

Pada PRU13, dengan jumlah pengundi 100,490 orang (85,762 keluar mengundi), Nur Jazlan menang majoriti 3,226 undi dengan memperoleh 43,751 undi berbanding Salahuddin yang ketika itu mewakili Pas memperoleh 40,525 undi.

Selain tugasan UMNO (BN) kali ini untuk mengukuhkan sokongan terhadap PH-Amanah, adakah ia mampu mengukur sokongan yang ada? Jika protes melalui kain rentang bukan milik UMNO tempatan, maka BN tidak perlu risau untuk membantu PH.

Tugas jentera BN adalah untuk memastikan kemenangan dengan majoriti terbesar di pihak PH. Seperti formula Nur Jazlan calon PH pada kali ini sepatutnya memperoleh lebih 96,000 undi.

Benar gelombang PN tidak melanda Pulai tetapi gelombang PH sudah lama melanda Pulai. Dan pada PRU lalu, gelombang PH semakin menggila apabila banyak kerusi yang menjadi kubu UMNO terlepas dari genggaman.

Mungkin ketika ini UMNO tidak terasa apa-apa kerana mereka sudah bersahabat dengan PKR, DAP dan Amanah.

Pada PRU15, PH mengekalkan penguasaannya di Johor apabila menawan 15 daripada 26 kerusi Parlimen sementara BN yang bertanding di semua 26 kerusi hanya menang 9 (7 UMNO 2 MCA) manakala PN 2. Sasaran awal BN 20 tetapi turun kepada 10. Begitu sukarnya UMNO mengembalikan kegemilangannya.

Kawasan yang pernah menjadi milik BN (UMNO) terlepas. Selain Pulai, turut kecundang Johor Bahru, Ledang, Batu Pahat, Pasir Gudang, Pagoh, Muar dan Sri Gading di samping Segamat, Labis. UMNO boleh melupakan 10 kerusi ini?

Realitinya, gelombang PN tidak melanda Johor tetapi gelombang PH sudah pun ‘mematahkan’ tiang seri UMNO di negeri kelahiran UMNO seterusnya mengubah landskap politik Johor pada PRU14 (2018).

Sejarah tercipta pada PRU-14 apabila gelombang PH membadai selatan tanah air dengan PH buat pertama kali berjaya menawan Johor, Negeri Sembilan dan Melaka. Ketika itu, di Johor, PH menang selesa dengan 36 kerusi DUN berbanding BN 19.

Kemelut politik yang berakhir dengan PRN akhirnya menyelamatkan UMNO di Johor yang menang 40 kerusi tetapi pada PRU15, pencapaian BN terus merosot.

Related posts

Leave a Comment