PUTRAJAYA 29 Ogos – Rakaman suara 30 minit dalam komponen ‘memory puck’ pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina, Shah Alam, pada 17 Ogos lalu, berjaya diekstrak di makmal di Florida, Amerika Syarikat (AS) semalam.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, berkata hasil daripada ekstrak itu, Biro Keselamatan Kemalangan Udara (BSKU) berhasil mendapatkan rakaman suara yang jelas serta berada dalam keadaan baik.
“Mengenai nahas pesawat di Elmina, semalam, dibantu jurutera di sana (Florida) membantu mendapatkan data, dan hasilnya data itu berjaya diekstrak daripada ‘memory puck’.
“Jadi, semua rakaman suara dalam pesawat terutama 30 minit terakhir sebelum sehingga nahas itu berlaku, berjaya dimuat turun,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu, maklumat dalam kotak perakam suara kokpit (CVR) yang dihantar ke makmal Biro Siasatan Keselamatan Pengangkutan di Singapura gagal diekstrak dan keputusan dibuat untuk menghantar ke makmal Di Dlorida.
Nahas itu mengorbankan 10 nyawa termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang juga Exco Pahang, Datuk Seri Johari Harun.
Pesawat yang berlepas dari Langkawi menuju Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) itu mendapat kebenaran mendarat pada pukul 2.50 petang tetapi terhempas dua minit sebelum mendarat.
