Pesawat hadapi masalah pada sayap?

KUALA TERENGGANU 18 Ogos – Masalah pada sayap pesawat adalah antara faktor yang mungkin menyebabkan sebuah pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam, Selangor kata Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Katanya, berdasarkan bahan-bahan visual yang diperoleh orang awam, masalah dialami pesawat itu mungkin disebabkan kegagalan sama ada aileron atau gabungan kedua-dua kemudi atau elevator.

“Melihat kepada bahan-bahan visual sahaja (dalam bentuk rakaman kamera papan pemuka kenderaan yang juga mempunyai lain-lain kekangan), saya lebih cenderung untuk percaya isu yang jadi persoalannya ialah kawalan penerbangan – lebih kepada masalah pada sayap, kemungkinan kegagalan sama ada aileron atau gabungan kedua-dua kemudi dan elevator,” katanya yang juga seorang pakar dalam bidang aeroangkasa.

Dalam hantaran di halaman Facebooknya, bekas Ketua Jabatan Kejuruteraan Aeroangkasa Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata, kegagalan pesawat juga boleh berpunca daripada pelbagai masalah seperti isu penyenggaraan, kegagalan integriti struktur pesawat, kegagalan enjin, isu kawalan penerbangan, masalah avionik dan faktor manusia.

Beliau berkata, lebih maklumat diperlukan dalam mencari faktor penyebab nahas itu termasuk siasatan di lokasi kejadian, pemeriksaan mikro dan makro ke atas bahagian atau serpihan pesawat dan analisis kotak hitam.

Dalam pasa itu, Ahmad Samsuri yang mewakili semua warga Terengganu mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam nahas pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) petang semalam.

Related posts

Leave a Comment