Selepas PRN eratkan kembali persaudaraan

BANGI 18 Ogos –  Masyarakat Islam digesa mengeratkan kembali tautan ukhuwah sesama saudara seIslam selepas pertembungan dua kumpulan yang saling mengumpat, mencela dan menghina semasa kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini.

Menerusi khutbah Jumaat di sini hari ini, jemaah diajak menghentikan tindakan dan percakapan yang dilarang agama sebaliknya menjaga adab, tatasusila dan saling menghormati antara satu sama lain walaupun berbeza ideologi politik.

Khutbah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu juga mengingatkan supaya mengutamakan ukhuwah Islamiah berbanding ketaksuban melampau sehingga hubungan persaudaraan diketepikan disebabkan perbezaan pandangan dan haluan dalam politik kepartian.

“Manakah yang lebih utama, mempertahankan hubungan silaturahim dan ukhuwah Islamiahkah atau melebih-lebihkan politik yang tidak matang?, “ tanya khatib menerusi khutbah itu.

Tegas khatib, mempertahankan persaudaraan Islam adalah lebih utama daripada sikap berpolitik yang tidak matang bahkan, jika berbeza pegangan akidah, hubungan persaudaraan sesama manusia tetap perlu diteruskan dan dipelihara.

“Jangan pula kita sesama keluarga, sanak saudara dan jiran tetangga jadi porak peranda kerana sikap dan pendirian politik yang berbeza,” tegas khatib yang menyampaikan khutbah itu.

Pada masa yang sama, khutbah mengingatkan kehilangan pengikut sesebuah parti masih boleh dicari ganti tetapi sekiranya putus hubungan silaturahim dan persaudaraan Islam, ia akan hilang dan tidak mungkin dapat diganti.

Politik menurut khutbah itu adalah indah dan cantik, tetapi dicacatkan oleh individu-individu tertentu sehingga kelihatan jijik, menghancurkan persaudaraan, menghilangkan adab dan akhlak yang baik serta mencetuskan fitnah dan tipu daya.

Umat Islam juga diajar berlapang dada dan belajar menerima kenyataan dalam semua perkara termasuklah berpolitik yang mana ianya tidak boleh terlalu berlebihan sehingga lupa adab sebagai seorang Muslim.

Khatib juga menarik perhatian, bahawa perbezaan pendapat adalah lumrah dan dalam menangani perbezaan ini, perkara utama perlu dilakukan adalah meraikan perbezaan pendapat atau pandangan orang lain dengan berlapang dada.

“Pemerintah ada akhlak yang perlu dicontohi, rakyat juga ada akhlak yang perlu dilazimi. Akhlak yang utama ialah memelihara persaudaraan Islam. Sejauh mana pun kita berbeza, adab dan akhlak akan menyatukan kita,” kata khatib.

Related posts

Leave a Comment