SEPANG 18 Ogos – Istana Selangor mengesahkan Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Menteri Besar Selangor akan diadakan di Istana Alam Shah, Klang pada pukuk 11 pagi, Isnin ini.
Dalam satu kenyataan Istana Selangor memaklumkan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan bagi istiadat tersebut.
Dalam masa sama, Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan kepada Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO) Selangor akan turut berlangsung pada hari yang sama, pada pukul 2 petang.
Sebelum ini, Kerajaan Perpaduan memaklumkan akan mengekalkan Amirudin Shari sebagai Menteri Besar sekiranya gabungan Pakatan Harapan -Barisan Nasional (PH-BN) menang di Selangor.
Bagaimanapun , media melaporkan dua lagi nama diserahkan kepada istana termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tg Sepat, Borhan Aman Shah dan Fahmi Ngah (Seri Setia).
Pada Pilihan Raya Negeri Sabtu lalu, gabungan PH-BN berjaya membentuk kerajaan negeri selepas menang 34 daripada 56 kerusi DUN manakala PN memperoleh 22 kerusi.
Sementara itu, di KLANG, Anwar Ibrahim memberi bayangan isu pelantikan Menteri Besar Selangor yang baharu sudah dimuktamad.
Pada masa sama, Perdana Menteri turut memberi gambaran polemik berkaitan Kerajaan Perak juga sudah diselesaikan.
“Kerajaan Perak ‘settled’ (selesai). Kerajaan Selangor pun ‘settled’ (selesai),” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimiah.
Terdahulu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan mengakui gerakan pihak tertentu untuk menumbangkan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan di antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sememangnya wujud.
Saarani dipetik berkata, khabar angin mengenai wujud gerakan menjatuhkan, seterusnya menukar pentadbiran kerajaan yang tersebar sejak beberapa bulan lalu, bukanlah sekadar cakap-cakap kosong.
Menerusi maklumat diperolehinya, gerakan itu didakwa masih berusaha memujuk, sekurang-kurangnya empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan untuk menyokong Perikatan Nasional (PN) sebagai pembangkang bagi memperolehi majoriti mudah membentuk kerajaan negeri.
