10 ADUN cabar pembatalan Exco

SEREMBAN 7 Okt. – Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan mencabar tindakan membatalkan pelantikan mereka sebagai Exco kerajaan negeri pada 24 September lalu, memohon Mahkamah Tinggi Seremban mengisytiharkan pemecatan itu batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa.

Mereka adalah Datuk Mohd Faizal Ramli (Linggi); Datuk Zaifulbahri Idris (Chembong); Datuk Mustapha Nagoor (Palong); Siow Kong Choon (Chennah); Siti Nur Umaira Hasim (Labu); Datuk Mohd Asna Amin (Lenggeng); Datuk Mohd Razi Mohd Ali (Sungai Lui); Suhaimizan Bizar (Gemencheh); Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting) dan Datuk Razali Abu Samah (Sikamat) selaku plaintif.

Semua plaintif memfailkan Saman Pemula terhadap Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan dan Kerajaan Negeri Sembilan sebagai defendan.

Saman pemula itu difailkan di Mahkamah Tinggi Seremban menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 5 Oktober lalu.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, kesemua plaintif memohon mahkamah mengisytiharkan pembatalan berkenaan sebagai batal, tidak sah dan tidak berkuat kuasa.

Mereka mempersoalkan sama ada pelantikan sebagai Exco boleh dibatalkan melalui penarikan balik perkenan Yang di-Pertuan Besar secara bersendirian tanpa nasihat Menteri Besar.

Justeru, mereka memohon deklarasi bahawa pembatalan pelantikan yang diwartakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan NS PU 18 bertarikh 24 September lalu sebagai terbatal.

Sementara itu, peguam, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang mewakili kesemua ADUN berkenaan mengesahkan perkara itu.

Beliau berkata, permohonan tersebut disokong dengan 10 afidavit daripada semua ahli Exco serta afidavit tambahan daripada Menteri Besar.

Pada 20 September lalu, pelantikan 10 Exco Negeri Sembilan dibatalkan berkuat kuasa serta-merta.

Pembatalan itu diperkenankan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Perkara itu dinyatakan dalam Warta Kerajaan Negeri Sembilan, NS PU 18, yang diterbitkan sebagai tambahan Perundangan, Jilid 79, No. 39.

Warta berkenaan menyatakan kesemua 10 Exco terbabit telah mengangkat dan menandatangani sumpah serta ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos sebelum mengambil tempat sebagai Exco negeri.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment