Tidak pelik apabila Melayu UMNO undi DAP

APABILA Ahmad Maslan ‘mengeluarkan arahan’ supaya anggota UMNO mengundi atau memangkah DAP, maka bagi parti politik, ia bukanlah sesuatu yang luar biasa. Maka tidak perlu mana-mana Melayu termasuk Melayu UMNO tersentak.

Bukankah DAP itu salah satu daripada 19 parti yang menganggotai Kerajaan Perpaduan? Maknanya, siapa saja calon sama ada dari DAP, Amanah, PKR yang diletakkan, anggota UMNO yang patuh arahan akan mengundi siapa sahaja.

Maka tidak janggal bagi Melayu UMNO mematuhi arahan ‘luar biasa’ dalam sejarah UMNO yang dikeluarkan oleh Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu supaya menyokong calon Kerajaan Perpaduan. Mungkin yang kalut adalah Melayu di luar UMNO.

Jangan lupa Pas juga pernah bersama DAP. Adakah ketika itu Presiden Pas, Abdul Hadi Awang tidak mengingatkan orang Pas atau orang Melayu supaya memangkah DAP ? Sudah tentu Hadi juga mengarahkan anggota parti menyokong DAP.

Rasanya setakat ini, kebanyakan atau hampir semua parti Melayu sudah pun mempunyai pengalaman ‘tidur sebantal atau sebilik’ dengan DAP. Terkini UMNO. Cumanya ada yang dapat tidur nyenyak, ada yang mengigau dan ada juga yang meracau.

Namun tidak dinafikan masih ada golongan tegar UMNO dan orang Melayu yang tidak dapat menerima DAP. Sudah sekian lama mereka ini diasuh untuk membenci DAP dan ‘pendirian’ terkini yang dibuat oleh UMNO tidak mudah diterima. Namun itu realiti politik.

Pada masa yang sama, kewajaran arahan itu apabila pemimpin UMNO juga sudah melupakan sejarah silam bagaimana mereka pernah mengutuk dan melabelkan DAP dengan pelbagai gelaran sehingga pada suatu masa boleh dikatakan ‘haram menyentuh’ DAP.

Dewan Merdeka menjadi saksi bagaimana laungan ‘No Anwar, No DAP’ semasa Perhimpunan Agung UMNO berpusing 360 darjah menjadi sebaliknya pada hari Konvensyen Kerajaan Perpaduan baru-baru ini.

Jika Dewan Merdeka boleh berkata-kata, sudah tentu ‘dia’ akan ‘memuntahkan’ segala-galanya untuk ‘meyakinkan’ orang yang masih tertanya-tanya atau keliru mengenai pendirian UMNO terhadap DAP.

Kata Tok Mad Pontian semalam, demi mengukuhkan Kerajaan Perpaduan, pengundi UMNO di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) diminta memangkah calon DAP di kawasan masing-masing.

Tegasnya apabila ahli UMNO sudah berada di dalam Kerajaan Perpaduan, maka ahli hendaklah mengikut disiplin parti.

“Disiplin parti memastikan arahan parti dituruti… memanglah undi itu rahsia tetapi gesaan saya ialah bukan (undi) atas nama parti atau DAP tetapi atas nama Kerajaan Perpaduan,” katanya yang mengharapkan pengundi UMNO meninggalkan sentimen yang ada.

Dalam erti kata lain Tok Mad juga mahu melupakan apa yang pernah diucapkan atau ‘dipantunkan’ selama ini mengenai DAP sebagai anggota UMNO-BN terhadap DAP-PH sebelum ini.

Pada masa yang sama, anggota UMNO juga harus ingat pendirian seorang lagi Tok Mat (Mohamad Hasan).

Timbalan Presiden UMNO itu sebelum ini memberitahu anggota parti itu bahawa DAP tidak bermuka-muka dan berpura-pura dengan setiakawan berbanding Pas yang tidak pernah setia dan ikhlas.

Menurut Tok Mat, UMNO dan DAP saling mengenali pendirian masing-masing dan kerana itu kedua-dua parti tidak perlu berpura-pura dalam persahabatan yang dijalin. Masing-masing sudah kenal pendirian.

Ramai lagi pimpinan UMNO yang sebelum ini “memaki hamun” DAP tetapi atas nama politik dan perpaduan dengan Pakatan Harapan (PH), mereka sudah berada di pentas yang sama dengan matlamat sama untuk menstabilkan Kerajaan Perpaduan.

Justeru, musuh-musuh UMNO perlu melupakan andaian persahabatan UMNO dengan DAP akan menyebabkan ramai penyokong akan meninggalkan parti berasaskan perjuangan agama, bangsa dan tanah air itu.

Ini berikutan ada yang berkata, kehadiran puak sosialis, liberal, DAP ke Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini akan mendorong jutaan rakyat termasuk ahli UMNO akan terus meninggalkan parti itu.

Mengenali anggota UMNO, seperti kata Tok Mad Maslan, sebagai ahli parti yang berdisiplin, mereka akan menurut arahan parti.

Jika dulu DAP lawan atau musuh, sekarang sudah menjadi kawan dan sahabat. Samalah pada satu ketika dahulu apabila UMNO ‘berpelukan’ bersahabat dengan Pas melalui Muafakat Nasional (MN). Sekarang giliran DAP berkawan dengan UMNO.

Bagi DAP seperti kata Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, UMNO adalah kunci utama kepada kekuatan kerajaan campuran ketika ini dan semestinya kemenangan besar mereka amat diperlukan pada PRN.

“Saya harap UMNO akan dapat kemenangan lebih besar, kerana dengan menjadi lebih kuat, ia akan menjadikan kerajaan lebih kuat. Jika mereka (UMNO) jadi lebih kuat, ia tidak baik untuk pembangkang,” katanya baru-baru ini.

Apa pun kita tunggu pendirian akar umbi UMNO dan berapa ramai sebenarnya calon DAP yang mengharapkan undi anggota UMNO untuk menang kerana selama ini, tanpa UMNO calon-calon DAP tetap menyerlah di gelanggang pilihan raya.

Related posts

Leave a Comment