3.4 juta warga Turkiye luar negara mengundi

ISTANBUL: Kira-kira 3.4 juta rakyat  Turkiye yang menetap di luar negara mula mengundi memilih Presiden negara itu yang menyaksikan saingan di antara penyandang Tayyip Erdogan dan pencabarnya, Kemal Kilicdaroglu.

Penentuan pilihan raya Presiden akan diadakan di Turkiye pada 28 Mei berikutan Erdogan memperoleh kurang daripada 50 peratus nilai ambang yang diperlukan untuk memenangi pemilihan itu secara langsung Ahad lalu dalam apa yang dijangka menjadi cabaran politik terbesarnya.

Secara keseluruhan lebih 64 juta pengundi layak mengundi bermula hari ini hingga 24 Mei depan.

Sementara itu, agensi berita Anadolu milik kerajaan berkata, proses pengundian bermula di negara-negara di seluruh Asia dan Eropah.

Jerman menjadi negara tumpuan, dengan terdapat kira-kira 1.5 juta warga Turkiye yang layak mengundi.

Dalam undian Ahad lalu, Parti AK yang diterajui Erdogan yang memerintah selama dua dekad dan sekutu nasionalisnya memenangi majoriti selesa bagi kerusi Parlimen.

Kilicdaroglu, calon pakatan pembangkang enam parti, memenangi 44.88 peratus sokongan dalam pilihan raya Presiden, berada di belakang Erdogan yang mencatatkan 49.52 peratus.

Perhatian kini tertumpu kepada nasionalis Sinan Ogan, calon yang mendapat tempat ketiga dengan sokongan 5.17 peratus.

Bagaimanapun, penentuan terletak kepada keputusannya untuk menyokong satu daripada dua calon dalam pusingan kedua.

Ogan berkempen untuk menghantar balik pendatang, termasuk kira-kira 3.6 juta rakyat Syria yang kehilangan tempat tinggal akibat peperangan di selatan.

Turkiye menjadi negara tumpuan kepada populasi pelarian terbesar di dunia iaitu sekitar empat juta.

Related posts

Leave a Comment