Pemadam sambut baik RUU kawal selia rokok dibentang Mei

CYBERJAYA 5 April –  Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) bimbang penggunaan rokok elektronik atau vape menjadi di luar kawalan terutama dalam kalangan generasi muda atau pelajar yang turut terlibat sebagai perokok.

Pengerusi Biro Wanita, Keluarga dan Penawar Pemadam,  Jamelah A Bakar berkata, rokok dan vape boleh menjadi pembuka jalan atau “gateway drugs” kepada penyalahgunaan dadah lebih-lebih lagi apabila penggunaannya di luar kawalan.

Justeru Jamelah berkata, Pemadam menyambut baik jaminan  Anwar Ibrahim bahawa Rang Undang-Undang (RUU) yang akan mengawal selia semua produk merokok termasuk yang mengandungi nikotin tidak akan dilengahkan.

Perdana Menteri memberitahu Dewan Rakyat, RUU berkenaan akan terus dibentangkan Mei ini selepas tertangguh disebabkan mendapat banyak reaksi negatif daripada Ahli Parlimen.

Jamelah yakin Malaysia mempunyai kewibawaan yang tinggi untuk menggubal rang undang-undang khas berkaitan Produk Tembakau dan Tabiat Merokok serta mengiktiraf merokok dan menghisap vape memudaratkan  generasi muda.    

“Pemadam menyeru semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Negara menyokong Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok yang akan dibentangkan   Mei ini seperti yang ditegaskan Perdana Menteri,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemadam juga yakin bahawa Perdana Menteri amat peka dengan impak kemudaratan penggunaan rokok elektronik kepada rakyat Malaysia.

“Cecair ketamin, magic mushroom, pati ganja, syabu yang berselindung di sebalik perisa fruity, creamy atau free base, jelas dan nyata bahawa rokok elektronik  berpotensi digunakan bagi penyalahgunaan pelbagai dadah berbahaya,” katanya.

Katanya, pada 2019, sebanyak 300,000 pelajar sekolah di seluruh negara menjadi pengguna vape manakala kajian lain menunjukkan 43,019 pelajar sekolah menengah adalah pengguna rokok.

Menurut Jamelah, terdapat 47 negara termasuk Singapura, Brunei Darussalam dan Thailand telah mengharamkan penggunaan rokok elektronik demi menjaga kemaslahatan rakyat mereka.

Katanya , kerajaan juga perlu melihat perkembangan penularan penggunaan rokok elektronik secara serius.

Beliau mendakwa terdapat skim pembiayaan peniagaan yang memberi pinjaman begitu mudah sekiranya ada pemohon yang berhasrat untuk berniaga vape dan perkara ini mesti dibendung.   

Dalam pada itu, keputusan Menteri Kesihatan mengeluarkan nikotin dari Akta Racun 1952, meninggalkan kesan negatif yang sangat besar kepada kesihatan awam.    

“Ini bererti pengusaha vape boleh mengimport cecair rokok elektronik ini tanpa sebarang kawalan terutama kepekatan nikotin yang dicampurkan yang akan menyebabkan ketagihan,” katanya.

Pemadam berharap Kementerian Kesihatan dapat mengambil pendekatan mewujudkan Generasi Penamat Rokok dalam negara demi generasi muda Malaysia yang sihat tanpa rokok dan terhindar daripada penyalahgunaan dadah.

Pada masa yang sama, Pemadam juga berharap industri tembakau yang bertapak di negara ini wajar  menghormati hak rakyat Malaysia serta lebih bertanggungjawab menjaga kesihatan awam, bukan mengaut keuntungan semata-mata.

Related posts

Leave a Comment