SEPANG 9 Jun – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), komponen Perikatan Nasional (PN) mengambil-maklum pendirian Pas untuk menghentikan kerjasama politik dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Presiden Gerakan Dr. Dominic Lau Hoe Chai berkata, Gerakan menghormati peranan dan sumbangan Pas serta Bersatu dalam PN.
“Pada peringkat ini, Gerakan akan menunggu penjelasan rasmi lanjut daripada pihak-pihak berkaitan sebelum membuat sebarang ulasan berhubung perkara ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau bagaimanapun menegaskan, Gerakan akan terus memainkan peranan yang membina dalam memperkukuhkan PN sebagai gabungan politik yang inklusif dan boleh diterima rakyat Malaysia pelbagai kaum dan agama, sambil terus menegakkan kestabilan politik, kepemimpinan berprinsip, serta kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.
Katanya, dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Negeri Sembilan yang semakin hampir, serta landskap politik negara yang terus berkembang menuju Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, inilah masanya untuk semua pihak terus memberikan tumpuan kepada tanggungjawab yang lebih besar di hadapan.
“Kesepakatan dalam kalangan parti komponen amat penting bagi menjadikan pasukan kita sebagai pilihan rakyat,” katanya.
Malam tadi, Pas mengumumkan menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu berkuat kuasa serta-merta.
Ketetapan itu diputuskan dalam Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Pas Pusat, selepas mengambil kira laporan, kajian dan penilaian semasa terhadap hubungan kedua-dua parti.
Nnnn
