KAJANG 9 Jun – Polis pernah menyerbu flat haram yang tular selepas dikatakan menjadi kediaman pelarian Rohingya di Kampung Kenangan, Hulu Langat pada Februari lalu dan menahan 42 warga asing iaitu 35 lelaki, tiga wanita serta empat kanak-kanak.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, tangkapan disiasat Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di bawah Seksyen 51(3)(a) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan ditahan di bawah Seksyen 51(5)(b) akta yang sama.
Katanya, dalam serbuan secara bersepadu itu, seorang lelaki tempatan yang mengaku anak pemilik rumah turut dikenakan tindakan.
“Satu Borang IMM 29 (Saman Kepada Saksi) dan satu Borang Geledah Seksyen 51(1) Akta Imigresen 1959/63 dikeluarkan kepada lelaki berkenaan di lokasi,” katanya.
Beliau juga berkata kediaman itu kini didakwa didiami dua keluarga iaitu pemilik premis dan penyewa warga tempatan.
“Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dan jika terdapat sebarang maklumat boleh disalurkan melalui talian NG MERS 999 atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03 89114243”, katanya.
Terdahulu, video tular di media sosial memaparkan sebuah premis bertingkat dikatakan dibina secara haram berdasarkan struktur luaran yang tidak ‘siap’ dan bahagian koridor sekadar ditutup menggunakan zink.
Video yang dikongsi oleh seorang selebriti tempatan itu menjadi perbualan hangat warganet yang mendakwa bangunan dibina oleh warga asing.
Nnn
