Pemuda dekati pelajar sekolah, universiti

KUALA LUMPUR 4 April – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan mendekati golongan muda di peringkat sekolah dan universiti bagi meningkatkan pengetahuan berkait hal ehwal politik sebelum mereka layak mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-16.

Bagaimanapun Ketuanya, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata program pengkaderan

tersebut akan dilakukan dengan cara kreatif mengikut prosedur yang ditetapkan dan berlandaskan kepada undang-undang.

Katanya, setiap pemimpin sayap pergerakan parti supaya kreatif dan berhemah merangka program selain mematuhi peraturan ditetapkan di sekolah serta universiti.

“Kita sedia maklum apabila Undi18, kalau menjelang PRU16…hari ini adik-adik kita  di Tingkatan Dua nanti apabila PRU16 sudah boleh jadi pengundi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda UMNO di Menara Datuk Onn di sini, hari ini.

Selain itu, Dr Muhamad Akmal memaklumkan bahawa mesyuarat sayap pergerakan hari ini, bersetuju mewajibkan Pemuda UMNO Bahagian untuk melantik sekurang-kurangnya seorang ahli jawatankuasa berumur bawah 25 tahun.

Jelasnya, ketetapan itu adalah langkah Pemuda untuk memperkukuhkan dari segi sokongan akar umbi dan sokongan golongan muda bagi menghadapi PRU16 dan PRN akan datang.

Katanya, ia termasuk mencari penyelesaikan bagi memudahkan orang di luar sana terutama golongan muda untuk menjadi ahli parti.

“Kita akan menghadapi PRU16 dan PRN akan datang dengan Undi18 yang mana rata-rata pengundi sekarang hampir 51 peratus adalah pengundi berumur bawah 40 tahun. Kebanyakan mereka ada juga berumur bawah 25 tahun,” katanya.

Beliau juga berkata, Pemuda UMNO membuka ruang seluas-luasnya kepada semua anak muda di luar sana untuk menyertai parti itu,

“Ada juga cadangan tadi kita nak melihat bagaimana proses untuk menjadi ahli UMNO dipermudahkan. Sekarang ini kita tak boleh lagi ikut cara orang lama…nak kena hantar borang, cop borang. Tetapi kali ini dengan adanya teknologi baharu, kita akan cari penyelesaiaan untuk mudahkan orang ramai khususnya orang muda jadi ahli Pemuda UMNO atau ahli UMNO,” katanya.

Dr Muhamad Akmal juga mahu Pemuda UMNO menjuarai isu rakyat, antaranya membabitkan desakan orang ramai berhubung pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagi Pemuda, pihaknya berpendirian membantah caruman KWSP dijadikan cagaran pinjaman bank sambil memberi jaminan akan mengemukakan beberapa cadangan penyelesaian berhubung isu itu.

“Kita sudah maklum bahawa isu KWSP ini dibawa oleh Pemuda UMNO sendiri sebelum orang lain. Ada juga pihak yang mengatakan isu KWSP ibarat isu seperti Gunung Ledang. Apabila di pihak pembangkang seolah-olah mereka yang membawa isu ini,” katanya.

Related posts

Leave a Comment