43,019 pelajar kita merokok

KUALA LUMPUR 4 April – Program Kesihatan Oral Tanpa Asap Rokok (KOTAK) tahun lalu yang membuat saringan terhadap 1.3 juta pelajar sekolah menengah mendapati seramai 43,019 pelajar merokok.

Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni, berkata bagi tempoh sama, hasil saringan yang dijalankan terhadap dua juta murid sekolah rendah mengesan seramai 341 orang turut terjebak dengan perbuatan itu.

“Murid yang dikenal pasti merokok diberikan intervensi berkenaan rokok, manakala yang tidak merokok diberikan pendidikan kesihatan berterusan bagi memastikan mereka kekal tidak merokok,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan N Balasubramaniam yang ingin tahu perkembangan terkini pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dalam Generasi Penamat-Anti-Rokok (GEGAR-18) dan sejauh mana kempen ini berhasil.

Lukanisman berkata, KKM akan terus memperkasa dan memperluaskan program GEGAR-18 bagi memberi pengetahuan perundangan dan pendidikan berterusan untuk mewujudkan persekitaran bebas dari sebarang bentuk amalan merokok.

Kempen ini juga dijalankan bagi memastikan kumpulan GEGAR-18 kekal bebas rokok sepanjang hayat mereka.

Kempen GEGAR-18 juga dijalankan di sembilan institusi pengajian tinggi (IPT) dengan kerjasama Yayasan Sukarelawan dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

Selaras dengan kempen GEGAR-18 ini juga, sebanyak 19 kampus universiti melaksanakan program MQUIT Universiti dan buat saringan serta intervensi untuk menghentikan tabiat merokok dalam kalangan pelajar pengajian tinggi.

Related posts

Leave a Comment