Mangsa banjir Johor 45,048

JOHOR BAHRU 9 Mac – Jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat dengan mencatatkan 45,048 orang setakat pukul 8 pagi ini melibatkan 12,746 keluarga yang ditempatkan 186 pusat pemindahan sementara (PPS) di tujuh daerah terjejas.

Berbanding pada pukul 8 malam tadi, jumlah yang direkodkan adalah 42,851 orang melibatkan 12,083 keluarga yang ditempatkan di 186 PPS.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Dr Azmi Rohani berkata, jumlah mangsa di Batu Pahat masih meningkat manakala di lima daerah lain, terus menurun manakala satu daerah jumlah kekal, pagi ini.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Johor berkata,  mangsa banjir di Batu mencecah 35,099 orang (9,835 keluarga) di 106 PPS berbanding 32,312 orang (8,986 keluarga) setakat 8 malam tadi.

Lima daerah menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir adalah Muar, Tangkak, Segamat, Mersing dan Kluang.

Di Muar, jumlah mangsa banjir menurun kepada 4,094 orang (1,225 keluarga) di 21 PPS; Tangkak pula kini menempatkan 2,436 orang (766 keluarga) di 20 PPS dan di Segamat pula kini tinggal 1,444 mangsa banjir (367 keluarga) di 24 PPS.

Mersing juga mencatatkan penurunan jumlah mangsa banjir kepada 791 orang (220 keluarga) yang ditempatkan di lima PPS dan Kluang pula dengan jumlah mangsa banjir berkurang kepada 477 orang (133 keluarga) di empat PPS.

Beliau berkata, hanya Kota Tinggi yang masih kekal dengan jumlah mangsa banjir seramai 707 orang (200 keluarga) di enam PPS.

(Foto Pejabat Daerah Batu Pahat)

Related posts

Leave a Comment