Gara-gara satu kes, Canberra berkurung

CANBERRA 12 Ogos – Disebabkan satu kes Covid-19 yang tidak diketahui puncanya, ibu negara Australia, Canberra, dikenakan perintah berkurung selama tujuh hari bermula hari ini, Khamis.

Kira-kira 400,000 penduduk akan diletakkan di bawah perintah duduk di rumah bermula pukul 5 petang (waktu tempatan), sekali gus menyertai jutaan penduduk lain di tenggara Australia yang sebelum ini sudahpun dikenakan perintah yang sama.

“Ini adalah risiko kesihatan awam paling serius yang kita hadapi di wilayah ini tahun ini, malah, sejak pandemik bermula,” kata Ketua Menteri Wilayah Persekutuan Australia Andrew Barr pada satu sidang media.

Menurut beliau, individu yang positif Covid-19 itu bergaul dengan masyarakat sewaktu tempoh berjangkit.

Canberra tidak pernah dikenakan perintah berkurung sejak sekatan itu dilaksanakan di seluruh negara pada peringkat awal pandemik pada 2020.

Selepas berbulan-bulan mengejar strategi “sifar Covid”, Australia bergelut untuk membendung beberapa penularan yang tercetus disebabkan varian Delta yang amat mudah berjangkit.

Ketika ini, lebih 10 juta penduduk di Melbourne dan Sydney, berada di bawah perintah berkurung.

Kebanyakan kawasan di barat wilayah New South Wales juga dikenakan perintah berkurung sejak Rabu di tengah-tengah kebimbangan jumlah penduduk Asli yang cukup besar dikhuatiri lebih terdedah kepada koronavirus.

Setakat ini, Australia mencatatkan lebih 37,500 kes Covid-19 dan 946 kematian berkaitan koronavirus dalam penduduk seramai 25 juta orang.

Berikutan perintah itu juga, pihak berkuasa merayu kepada para penduduk supaya jangan membuat pembelian cemas ketika kedai-kedai mula diserbu orang ramai yang tidak berpelitup sejurus selepas pengumuman itu dibuat.

Related posts

Leave a Comment