24,000 mohon sertai projek IPR

KUALA LUMPUR 9 Mac – Kira-kira 24,000 permohonan diterima bagi mengusahakan 323 hektar tanah milik Kerajaan Persekutuan untuk projek tanaman fertigasi bagi membantu miskin tegar dan kumpulan B40 menerusi Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR).

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata permohonan itu direkodkan selepas hampir dua minggu IPR dilancarkan melalui tiga komponen diperkenalkan iaitu Inisiatif Usahawan Tani (INTAN), Inisiatif Usahawan Makanan (INSAN) dan Inisiatif Operator Perkhidmatan (IKHSAN).

“Di peringkat permulaan, tumpuan diberikan kepada tanaman strategik seperti cili dan jagung. Selain itu, sejumlah kira-kira 800 ekar tanah Kerajaan Persekutuan telah dikenal pasti untuk dimanfaatkan bagi tujuan inisiatif ini,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan R Yuneswaran (PH-Segamat) yang meminta Menteri Ekonomi menyatakan bagaimana IPR dapat membantu isi rumah B40 dan miskin tegar menjana pendapatan.

Rafizi memberitahu, sejak dilancarkan, Kementerian Ekonomi menerima maklum balas dan sambutan menggalakkan yang mana penyertaan bertambah dari sehari ke sehari.

Rafizi semasa melancar IPR pada 26 Februari lalu berkata, kerajaan menyasar 100,000 peserta yang mana dijangka IPR berupaya menjana pendapatan sekurang-kurangnya RM2,000 sebulan, bagi membolehkan mereka keluar daripada garis kemiskinan.

Sasaran itu berdasarkan kajian yang dilaksanakan pihaknya berasaskan garis kemiskinan tegar yang ditetapkan pada RM1,900 sebulan.

Related posts

Leave a Comment